Agrobank lancar Agro Penjaja-i, bantu peniaga dapat pembiayaan hingga RM100,000

Agrobank lancar Agro Penjaja-i, bantu peniaga dapat pembiayaan hingga RM100,000

Inisiatif itu turut tawar latihan keusahawanan, literasi kewangan dan kemudahan digital kepada penjaja serta usahawan mikro.

Mohamad Sabu merasmikan Agro Penjaja-i sambil disaksikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam satu majlis. (Gambar Agrobank)
PETALING JAYA:
Agrobank melancarkan Agro Penjaja-i, inisiatif bagi membantu penjaja dan usahawan mikro mendapatkan akses pembiayaan, latihan keusahawanan, literasi kewangan serta kemudahan digital untuk mengukuhkan perniagaan mereka.

Inisiatif itu disasarkan kepada komuniti perniagaan kecil serta sektor tidak formal, selaras usaha memperluaskan keterangkuman kewangan negara.

Melalui Agro Penjaja-i, penjaja dan usahawan mikro boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000, selain kemudahan kredit Cashline-i sehingga RM5,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

Inisiatif itu turut menawarkan pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan serta laluan khas atau ‘green lane’.

Kemudahan lain termasuk latihan kewangan dan keusahawanan selain khidmat nasihat serta pembiayaan bagi pensijilan halal mengikut garis panduan Syariah, serta pakej DuitNow QR SoundBox serendah RM114.

Agro Penjaja-I dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Mohamad menyifatkan pendekatan holistik Agrobank itu penting dalam memperkasa komuniti penjaja dan usahawan mikro yang menjadi antara tulang belakang ekonomi negara.

“Melalui inisiatif ini, ia bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan inklusif, tetapi turut membantu mereka meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan serta keupayaan pendigitalan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh itu mampu membantu penjaja meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan dan memperkukuh kelangsungan ekonomi mereka.

“Pada masa sama, Agro Penjaja-i turut menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasa perusahaan mikro yang lebih berstruktur, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Agro Penjaja-i layari atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.