Pemborong beras diminta segera ambil stok, elak pengguna terjejas

Pemborong beras diminta segera ambil stok, elak pengguna terjejas

Menteri Sabah Jamawi Jaafar kata terdapat 3,000 tan dibeli oleh beberapa pemborong, namun masih tersimpan di stor Bernas.

gudang beras
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah melakukan audit terhadap beberapa pemborong berhubung dakwaan menyorok beras. (Gambar Bernama)
TELUPID:
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengingatkan pemborong beras supaya segera mengambil bekalan yang dibeli daripada pembekal bagi memastikan kelancaran pengedaran dan bekalan kepada pengguna.

Menteri Jamawi Jaafar berkata terdapat 3,000 tan beras dibeli oleh beberapa pemborong tiga hari lalu, namun masih belum diambil dan tersimpan di stor Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

“Saya minta pemborong menyediakan lori untuk membawa keluar (mengangkut) bekalan beras yang telah ditempah (dari pembekal).

“Saya tidak mahu ia menjadi satu proses sabotaj oleh pemborong untuk kononnya menaikkan harga,” katanya kepada pemberita selepas program sesi libat urus bersama Jabatan Perparitan dan Saliran Sabah.

Beliau memberi jaminan harga beras khususnya di Sabah tidak akan mengalami sebarang kenaikan kerana subsidi barang keperluan itu kekal berkuat kuasa.

Sementara itu, Jamawi berkata pihaknya turut melakukan audit terhadap beberapa pemborong berhubung dakwaan menyorok beras.

“Kita buat audit supaya ada bukti, dan sekiranya ada bukti (terhadap dakwaan tersebut), denda paling kurang RM50,000 dan juga hukuman penjara kepada pemilik lesen.

“Tidak ada kompromi, tidak ada belas kasihan kerana ia mengganggu kehidupan rakyat. Siasatan sedang dijalankan. Masa kita panggil, ada beberapa pemborong tidak hadir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata kira-kira RM1 bilion setahun dibelanjakan untuk keperluan beras import di Sabah.

Justeru, kementeriannya menyasarkan pembangunan kawasan sawah padi terbiar di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan beras import dari Vietnam dan Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.