Perbicaraan guru dakwa Zara dimasuk dalam mesin basuh bersambung Jun

Perbicaraan guru dakwa Zara dimasuk dalam mesin basuh bersambung Jun

Tarikh itu ditetapkan pada prosiding perbicaraan hari pertama membabitkan Siti Hajar Aflah Sharuddin dengan beberapa lagi saksi dijangka hadir beri keterangan.

Siti Hajar Aflah Sharuddin
Pada 21 Ogos tahun lalu Siti Hajar Aflah Sharuddin yang didakwa di Mahkamah Majistret Sepang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Mahkamah Majistret menetapkan 11 dan 12 Jun depan sebagai tarikh sambung perbicaraan kes guru bahasa Inggeris sebuah sekolah yang didakwa atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam dengan mendakwa Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Majistret Suriani Ujang menetapkan tarikh itu pada prosiding perbicaraan hari pertama membabitkan Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, dengan beberapa lagi saksi dijangka hadir bagi memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri dan Nadia Mohd Izhar manakala peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde yang mewakili Siti Hajar memohon pihak pendakwaan memaklumkan mengenai bilangan saksi bagi melancarkan urusan mahkamah.

Terdahulu, saksi pertama kes berkenaan Wong Yew Zhung yang juga pegawai penyiasat bagi kes Zara Qairina memaklumkan mahkamah kenyataan dibuat guru berkenaan didakwa palsu dan mengganggu siasatan kes.

Pegawai polis itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau membuat laporan di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, pada 6 Ogos 2025 selepas melihat dua hantaran rakaman video melalui akaun TikTok berkaitan kes kematian Zara Qairina yang sedang dalam siasatan.

Pada 21 Ogos tahun lepas, Siti Hajar yang didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Wanita itu didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam di akaun TikTok miliknya ‘SHA_Abrienda’ pada 1.20 tengah hari, 6 Ogos 2025.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah itu pada 4 pagi, 16 Julai tahun lepas sebelum disahkan meninggal dunia selepas sehari dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Namun, tular di media sosial dengan dakwaan konon mangsa maut selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh, sehingga menimbulkan kebimbangan awam serta memberi tekanan emosi kepada keluarga Zara Qairina serta mengganggu proses siasatan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.