6 kapal minyak negara sedang tunggu giliran keluar dari Selat Hormuz, kata Anwar

6 kapal minyak negara sedang tunggu giliran keluar dari Selat Hormuz, kata Anwar

Perdana menteri juga enggan ulas pendirian Singapura tidak mahu berunding dengan Iran berkait laluan kapal di selat itu.

hormuz
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata semua kapal Malaysia sedang dalam perjalanan bawa bekalan minyak mentah ke negara ini. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata enam kapal Malaysia sudah mendapat kelulusan melalui Selat Hormuz dengan satu lagi dalam perjalanan membawa minyak mentah ke negara ini.

Katanya, ketika ini enam kapal berkenaan sedang menunggu giliran untuk keluar dari selat berkenaan.

“Muhammad Taufik (presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Petronas) sebentar tadi memberitahu perkembangan mengenai kemudahan dan pengangkutan perjalanan kapal kita.

“Alhamdulillah semua terlepas, satu sudah pun hampir sampai, satu sudah berlepas cuma satu kapal kita mengalami kerosakan yang tersadai di pelabuhan. Jadi yang enam lagi itu berjalan,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Kg Cheras Baru, Pandan.

Pada 6 April, Kedutaan Iran di Malaysia memaklumkan kapal pertama yang dikaitkan dengan Malaysia telah berjaya merentasi Selat Hormuz susulan ketegangan terbaru di rantau itu.

Menerusi hantaran di X, kedutaan berkenaan memuat naik gambar kapal itu dengan kapsyen Iran tidak melupakan sahabatnya dan telah membenarkan laluan kapal Malaysia.

Walaupun identiti kapal tidak didedahkan, laporan Reuters sebelum ini menyebut sebuah kapal tangki minyak disewa firma Petronas dan membawa minyak mentah Iraq telah merentasi selat itu menuju ke Pengerang, Johor.

Sebelum ini, Anwar berkata Iran bersetuju membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz hasil rundingan dengan pegawai negara itu.

Menteri Luar Mohamad Hassan turut memaklumkan tujuh kapal berkaitan syarikat Malaysia, termasuk Petronas, Vantris Energy Bhd, dan MISC Bhd, sedang menunggu giliran melalui laluan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar berkata bekalan minyak bagi bulan ini dan Mei dijangka kekal terkawal susulan perkembangan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan semasa dan berusaha mengurangkan beban rakyat, termasuk mengekalkan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) walaupun berdepan tekanan kewangan.

“Jemaah Menteri memantau setiap hari supaya keadaan lebih terkawal. Yang penting, kita kurangkan beban kepada rakyat,” katanya.

Anwar turut menegaskan subsidi diesel akan diteruskan bagi mengelakkan rakyat tertekan, khususnya golongan peladang, petani, dan nelayan.

“Bagi sektor lain, beberapa kementerian sedang mengkaji langkah untuk mengurangkan tekanan kepada mereka,” katanya.

Mengulas pendirian Singapura yang tidak terlibat dalam rundingan dengan Iran berhubung laluan kapal di Selat Hormuz, Anwar berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan negara itu.

“Itu urusan mereka. Bagi kita, kita berbaik dan ambil pendirian tegas. Dasar luar kita jelas dan hubungan dengan negara jiran perlu dijaga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.