
Beliau yang juga setiausaha politik kepada perdana menteri, berkata amanah itu adalah satu tanggungjawab besar dan disifatkan sebagai cabaran memastikan kemenangan semula parti di kerusi berkenaan.
“Kita perlu sedar tanggungjawab ini perlu dipikul bersama. Tanpa kerjasama semua anggota cabang, amat mustahil untuk kita melangkah ke hadapan,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Indera Mahkota, di Kuantan.
Dalam pada itu, beliau yang juga ketua cabang Indera Mahkota, memaklumkan jumlah anggota PKR di kawasan itu kini mencecah 6,666 dengan pertambahan 1,962 anggota baharu, dan menyasarkan keahlian meningkat kepada 10,000 sebelum Kongres Nasional PKR bermula.
Ahmad Farhan berkata, pihaknya komited merampas kerusi Parlimen itu berdasarkan rekod kemenangan PKR di kawasan tersebut pada 2008, 2013 dan 2018, sekali gus membantu parti itu kekal menerajui kerajaan pada PRU16.
Pada PRU15, Saifuddin Abdullah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota disandangnya dengan majoriti 8,399 undi serta menewaskan tiga pencabarnya daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, dan Pejuang.
Saifuddin menyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota sejak 2018, ketika bersama PKR dan kemudian mewakili Bersatu.