Tumpu isu ekonomi dulu, Anwar jawab gesaan tindakan terhadap Rafizi

Tumpu isu ekonomi dulu, Anwar jawab gesaan tindakan terhadap Rafizi

Presiden PKR berkata isu ekonomi negara lebih penting berbanding masalah peribadi dalam parti.

ANWAR IBRAHIM SOLAT JUMAAT
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas solat Jumaat di Kampung Cheras Baru, Pandan.
KUALA LUMPUR:
Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa pemimpin parti yang mendesak tindakan diambil terhadap bekas timbalan presiden Rafizi Ramli supaya bertenang.

Anwar yang juga perdana menteri berkata, beliau lebih memberi tumpuan kepada isu yang menjejaskan ekonomi negara berbanding konflik dalaman parti.

“Tak apalah kita minta bertenang dulu. Tumpu masalah ekonomi negara lebih serius berbanding masalah peribadi,” katanya ditemui selepas solat Jumaat di Kampung Cheras Baru, Pandan.

Rafizi dilaporkan lantang mengkritik kerajaan dan PKR sejak kalah perebutan jawatan timbalan presiden serta melepaskan jawatan menteri ekonomi pada Mei tahun lalu.

Lima hari lalu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, A Kumaresan, gesa tindakan diambil terhadap Rafizi dengan mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu melemahkan parti.

Hari ini, Rafizi mencabar PKR memecatnya ketika mempertahankan beberapa kenyataan terhadap kepimpinan parti, yang disenaraikan dalam surat tunjuk sebab kedua dikeluarkan semalam.

Pada Julai tahun lalu, 19 cabang PKR di Johor turut menggesa sembilan Ahli Parlimen parti itu termasuk Rafizi, digantung keahlian susulan desakan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja berhubung pelantikan kehakiman serta dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Ketua cabang berkenaan mendakwa, tindakan Ahli Parlimen terbabit melanggar disiplin dan etika parti, selain memberi gambaran negatif terhadap kepimpinan perdana menteri serta membuka ruang kepada manipulasi politik oleh pihak lawan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.