
Jurucakap kumpulan, Faizan Mohd Nor, mendakwa tindakan Rafizi yang membuat kenyataan keras secara terbuka terhadap kerajaan menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara, serta keyakinan rakyat.
“Kami berpendapat sudah tiba masa untuk menghentikan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mengganggu kestabilan negara.
“Rafizi perlu menghentikan retorik yang didakwa mengelirukan rakyat serta berundur daripada politik bagi mengelakkan ketidaktentuan berterusan dalam landskap politik negara,” katanya ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada pegawai Ahli Parlimen Pandan itu di Sungai Besi, hari ini.
Hadir sama pengasas PKR Ng Lum Yong.
Faizan juga mendakwa, bekas timbalan presiden PKR itu ‘gagal’ sepanjang memegang jawatan menteri ekonomi.

“Beliau gagal dalam melaksakan peranan sebagai menteri ekonomi, kegagalan menunaikan janji manifesto PRU15, serta kelemahan dalam pelaksanaan projek tertentu termasuk inisiatif mesin layan diri (vending machine) dan sistem Padu,” katanya.
Katanya, Rafizi sepatutnya membantu dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi rakyat susulan krisis global ketika ini.
Sementara itu, Ng mendakwa kenyataan Rafizi lebih kepada politik peribadi, bukan untuk menyelamatkan negara.
“Kalau tak puas hati dengan apa dilakukan kerajaan lebih baik jumpa mereka terlibat termasuk perdana menteri secara bersemuka dan bagi solusi kepada kerajaan itu lebih baik.
“Walaupun PKR ialah parti demokrasi dan mana-mana pihak bebas bersuara ia tidak boleh sampai keterlaluan sehingga beri imej tak baik kepada negara,” katanya.
Rafizi dilaporkan lantang mengkritik kerajaan dan PKR sejak kalah perebutan jawatan timbalan presiden serta melepaskan jawatan menteri ekonomi pada Mei tahun lalu.