
Jasween Kaur Dhaliwal berkata terdapat beberapa halangan besar yang menyukarkan tindakan menghukum seseorang kerana menghidangkan atau menjual minuman beralkohol kepada individu yang kemudian menyebabkan kemalangan semasa memandu dalam keadaan mabuk.

“Pertama sekali, pihak penuntut perlu membuktikan kecuaian (di pihak pemilik perniagaan). Ini termasuk menunjukkan kaitan antara tindakan menghidangkan alkohol kepada si pemandu dengan kecederaan yang berlaku selepas itu,” katanya kepada FMT.
Beliau menjelaskan bahawa pada dasarnya, adalah sukar untuk menentukan sama ada seseorang yang telah minum itu benar-benar mabuk.
“Tahap toleransi setiap individu terhadap alkohol adalah berbeza dan mereka mungkin menyembunyikan tanda-tanda luaran,” katanya.
Jasween berkata penguatkuasaan sering tidak konsisten dan melibatkan proses yang kompleks, walaupun di negara yang mempunyai undang-undang yang dicadangkan itu.
Tambah beliau, undang-undang tersebut juga tidak menangani punca utama memandu bawah pengaruh alkohol.
Jasween mengulas cadangan Shafiq Iqram Abdullah, Ketua Biro NGO dan Sukarelawan Pemuda PKR, agar kerajaan tempatan memperkenalkan ‘dram shop liability’ sebagai syarat baharu dalam lesen perniagaan bagi premis yang menjual alkohol.
Dengan adanya peraturan itu, pengusaha boleh dipertanggungjawabkan jika mereka menghidangkan alkohol secara berlebihan kepada pelanggan.
Peraturan ini dilaksanakan di beberapa negara dalam pelbagai bentuk, termasuk Amerika Syarikat dan Kanada serta negeri tertentu di Australia.
Peraturan tersebut membolehkan mangsa membuat tuntutan sivil ke atas premis yang menghidangkan alkohol secara berlebihan kepada seseorang. Objektifnya adalah untuk menggalakkan perkhidmatan yang bertanggungjawab dan mengurangkan kemudaratan berkaitan alkohol.
Walaupun perincian liabiliti ini berbeza mengikut bidang kuasa memandangkan negara dan negeri terbabit mengamalkan piawaian dan pendekatan tersendiri, matlamatnya sama iaitu memastikan perniagaan bertanggungjawab atas peranan mereka yang menyumbang kepada bahaya akibat pemanduan mabuk.
Cadangan Shafiq itu menyusuli nahas pada 29 Mac di Jalan Raya Barat, Klang, yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar, 33 tahun.
Amirul sedang menunggang motosikal apabila sebuah kereta yang dipandu oleh Saktygaanapathy Ravichandran, 28, merempuhnya. Saktygaanapathy, yang didakwa memandu bawah pengaruh alkohol dan bahan lain, kini berdepan pertuduhan bunuh di mahkamah.
Sebelum ini, sebagai respons kepada gesaan Shafiq, dua kumpulan perniagaan menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak adil.
Jasween berkata beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan kejadian memandu bawah pengaruh alkohol. Ini termasuk kempen mendidik masyarakat, mengalakkan budaya dipandu pemandu tidak mabuk, serta menambah baik akses kepada pengangkutan lewat malam seperti e-panggilan dan teksi.
Seorang pemilik bar yang beroperasi di Damansara menyifatkan cadangan itu sukar dilaksanakan tanpa garis panduan yang jelas.
Pemilik tersebut, yang enggan dikenali, berkata enggan menghidangkan minuman boleh membawa kepada konfrontasi dan risiko keselamatan, walaupun pekerja boleh mengenal pasti pelanggan yang mabuk berdasarkan tanda-tanda seperti muntah, tertidur, atau agresif.
“Orang ramai tidak suka apabila diberitahu apa yang patut atau tidak patut dilakukan, terutama apabila mereka berada dalam keadaan mabuk,” katanya.
Beliau menambah pengusaha bar bersedia untuk bekerjasama dengan perkhidmatan e-panggilan, namun dasar yang lebih jelas mesti ada sebelum perniagaan boleh dipertanggungjawabkan.