
Sebagai contoh, permintaan untuk EV terpakai kekal hambar, menyumbang kepada nilai jualan semula yang rendah. Selain itu, jangka hayat bateri menjadi kebimbangan utama, manakala sokongan selepas jualan masih tidak menentu.
“Faktor-faktor ini menghakis nilai jangka panjang EV,” kata Suresh Nair, eksekutif jualan di Carconnections Subang kepada FMT.
Nair berkata, ketidaktentuan mengenai jangka hayat bateri EV dan kos penggantiannya telah menghakis kepercayaan terhadap pasaran kereta terpakai.
Bagi kebanyakan EV, kos bateri mewakili sekitar 40% daripada harga keseluruhan kereta tersebut.
“Buat masa ini, nilai jualan semula bagi EV sangat rendah,” kata Nair, sambil menekankan perbezaannya dengan pasaran kereta terpakai bagi kenderaan berkuasa petrol atau diesel, yang mengekalkan nilai lebih tinggi kerana alat gantinya boleh dibaiki atau ditukar.
Nair menyamakan kereta elektrik dengan telefon bimbit. “Sama seperti telefon bimbit, apabila jangka hayat baterinya tamat, (EV) langsung tiada nilai,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kereta dengan enjin pembakaran dalaman masih boleh mencecah separuh harga asalnya selepas bertahun-tahun digunakan, EV sering kali tidak mempunyai prospek tersebut.
“Anda beli kereta dengan harga RM100,000, dan selepas lapan tahun, anda mungkin masih boleh dapat RM50,000. Kereta elektrik tidak mampu kekalkan nilai seperti itu,” katanya.
Harga yang ditawarkan di pasaran kereta terpakai menyerlahkan kejatuhan mendadak bagi nilai EV.
Sebagai contoh, seseorang mungkin membayar RM648,000 untuk sebuah Mercedes Benz EQS 500 baharu pada 2024. Kereta yang sama kini hanya berharga RM350,000 di pasaran jualan semula tahun ini. Dalam tempoh tidak sampai dua tahun, nilainya merosot 45%.
Faktor sebegini akan terus memberi tekanan terhadap permintaan dalam pasaran EV terpakai, kata Nair.
Menurutnya, pembeli juga lebih cenderung membeli EV baharu berbanding yang terpakai, memandangkan kereta baharu disertakan dengan waranti.
“Akibatnya, sesetengah pengedar keberatan untuk tukar beli EV (trade-in). Jadi, pengedar seperti saya tidak ambil kereta elektrik,” tambahnya.
Kumpulan industri berkata, kebimbangan ini mencerminkan cabaran struktur yang lebih luas dalam pasaran yang masih belum matang.
Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Syarikat Motor dan Kredit (FMCCAM) Tony Khor berkata, jangka hayat bateri dan kos penggantian kekal menjadi faktor penting yang mempengaruhi nilai jualan semula.
“Tidak seperti kenderaan konvensional, kos bateri bagi EV mewakili sebahagian besar daripada jumlah nilai keseluruhan kenderaan tersebut,” jelasnya.
“Disebabkan ketidaktentuan mengenai penyusutan kualiti bateri dalam jangka panjang, pemindahan waranti dan kos penggantian, pembeli di pasaran sekunder kekal berhati-hati.”
Khor menambah, persaingan yang semakin sengit serta kemasukan lebih banyak jenama EV ke pasaran turut memaksa harga turun.
“Lebihan penawaran akan menurunkan harga, terutamanya dalam pasaran membangun seperti Malaysia,” katanya.
Mengenai sokongan selepas jualan, Khor berkata, ekosistem servis penyelenggaraan semakin bagus namun masih dalam fasa peralihan, dengan bengkel-bengkel bebas sedang perlahan-lahan meningkatkan kemahiran mereka.
Menyoroti kekangan tersebut, Nair menekankan bahawa banyak bengkel EV masih belum mempunyai peralatan lengkap.
“Akan ambil masa sebelum mekanik bebas mampu kendalikan EV,” katanya.
Secara keseluruhannya, pemain industri berkata, faktor-faktor ini berupaya mempengaruhi keyakinan pembeli apabila mempertimbangkan memiliki EV dalam jangka panjang.