Geran khas Sabah: Putrajaya akan pastikan rundingan berjalan lancar

Geran khas Sabah: Putrajaya akan pastikan rundingan berjalan lancar

Penangguhan semakan beri ruang kepada kedua-dua pihak untuk perinci data serta memastikan ketepatan fakta.

Mustapha Sakmud
Menteri Mustapha Sakmud beri komitmen bahawa beliau akan pastikan proses rundingan lancar.
KOTA KINABALU:
Kerajaan persekutuan akan memastikan proses rundingan bersama kerajaan negeri berhubung semakan dan pembayaran geran khas 40% untuk Sabah berjalan lancar melalui penyelarasan berterusan antara pihak berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata beliau berperanan sebagai penyelaras bagi memastikan libat urus antara Kementerian Kewangan (MoF) dan kerajaan negeri dilaksanakan secara berkesan.

Perkara itu selaras dengan tanggungjawabnya dalam mengkoordinasi Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan rundingan antara kedua-dua pihak berjalan lancar.

“Pihak kerajaan meminta sedikit penangguhan supaya kita boleh perincikan data kerana kita perlu meneliti data sejak 1974 hingga sekarang, jadi pihak MoF bersama kerajaan negeri memerlukan sedikit masa.

“Saya memberi komitmen kepada rakyat Sabah bahawa saya sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab akan memastikan proses ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan raya bagi Parlimen Sepanggar malam tadi.

Mustapha berkata satu pertemuan bersama Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

Katanya, penangguhan semakan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperincikan data serta memastikan ketepatan fakta sebelum sebarang persetujuan dicapai.

Dalam pada itu, Mustapha berkata kerajaan menghormati pandangan pelbagai pihak berhubung isu berkenaan dan memahami harapan rakyat Sabah agar ia diselesaikan segera.

Katanya, permohonan penangguhan semakan merupakan amalan biasa dalam sistem perundangan bagi memberi ruang kepada proses semakan semula sesuatu keputusan.

“Saya bukan peguam, tetapi dalam sistem mahkamah, mana-mana pihak mempunyai hak untuk memohon penangguhan dan semakan penghakiman. Ini adalah proses biasa, cuma kali ini ia dilihat luar biasa kerana melibatkan isu 40%,” katanya.

Pada 17 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Pada 6 April lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.