PN hantar surat esok maklumkan ketiadaan ketua pembangkang

PN hantar surat esok maklumkan ketiadaan ketua pembangkang

Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar kata pembangkang akan mempunyai ketua apabila Dewan Rakyat kembali bersidang pada Jun.

Ahmad samsuri
(Facebook pic)
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar mengarahkan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan untuk menulis surat kepada speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan ketiadaan ketua pembangkang.

Perkembangan itu menyusuli laporan mengatakan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, menghantar surat peletakan jawatan ketua pembangkang kepada kepimpinan tertinggi PN, semalam.

“Esok akan dihantar surat pemakluman kekosongan jawatan ketua pembangkang buat masa ini,” katanya kepada pemberita, dalam satu video di YouTube.

Samsuri menerangkan ketiadaan ketua pembangkang berlaku secara automatik apabila Hamzah melepaskan jawatan tersebut, maka tidak timbul soal kepimpinan PN menerima atau menolak peletakan jawatan itu.

Sementara itu, ketika Dewan Rakyat belum bersidang, parti-parti PN akan bergerak atas kapasiti masing-masing.

“Apabila tiba waktunya kita nak masuk sidang yang berikutnya pada bulan Jun ini kita akan mempunyai ketua pembangkang,” katanya.

Menurut takwim Dewan Rakyat, mesyuarat kedua bagi penggal kelima Parlimen ke-15 akan bersidang mulai 22 Jun sehingga 16 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.