
Harga diesel di Semenanjung Malaysia kini ditetapkan RM6.72 seliter, lebih dua kali ganda berbanding sekitar RM2.80 hingga RM3 sebelum ini, sekali gus mendorong pembeli menangguhkan pembelian kerana bimbang harga diesel akan terus meningkat.
Pengedar yang ditemui FMT berkata pertanyaan daripada pelanggan hampir tiada dan kunjungan ke bilik pameran juga terhenti, dengan semakin ramai pemilik kenderaan kini cuba menjual kenderaan mereka.
Di Kuantan, pengedar Mitsubishi, Shamsul Kamal Mahmood menyifatkan keadaan itu sebagai yang terburuk pernah dialaminya dalam tempoh tujuh tahun dalam perniagaan.
“Jualan sangat teruk. Bulan depan mungkin lebih buruk jika keadaan berterusan,” katanya.
Pengedar Mitsubishi Triton itu berkata kenderaan pacuan empat roda tersebut sebelum ini antara model paling mendapat permintaan sebelum kemerosotan berlaku.
“Namun kini, tiada tempahan baharu lagi. Tiada lagi pertanyaan dari pelanggan atau yan datang ke bilik pameran. Hanya pembeli yang membatalkan tempahan,” katanya sambil menambah pelanggan kini semakin kerap bertanya sama ada mereka boleh menjual kenderaan masing-masing.
“Terlalu ramai yang mahu jual kenderaan mereka tetapi tiada pembeli.”
Seorang lagi pengedar dari Pahang yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Fai berkata kemerosotan itu tidak pernah berlaku sepanjang dua dekad beliau menjual trak pikap popular, Toyota Hilux.
“Semua kenderaan kami menggunakan diesel. Perniagaan kini sukar. Dalam tempoh 20 tahun, saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Perniagaan saya sunyi sepi,” katanya.
Peniaga kereta terpakai, Tan Meng Soo yang mempunyai cawangan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak 15 tahun lalu berkata, kini urus niaga kenderaan diesel hampir terhenti sepenuhnya.
“Satu-satunya ‘perniagaan’ yang saya dapat sekarang ialah pembatalan. Hampir semua kenderaan diesel saya tidak mendapat permintaan,” katanya.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan, kira-kira 700,000 trak pikap didaftarkan di Malaysia sejak 2000, termasuk model seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Ford Ranger.
Jangan buat jualan panik
Naib Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia, Danial Chan berkata sebelum kemerosotan, kenderaan diesel boleh dijual dalam tempoh dua minggu selepas tiba di bilik pameran.
Pengedar Isuzu itu berkata pembeli, khususnya di kawasan bandar, menangguhkan pembelian kerana kenderaan diesel dan kereta terpakai kini dilihat sebagai tidak penting, manakala pemilik sedia ada berlumba-lumba untuk menjual kenderaan mereka.
“Sebuah pikap yang berharga RM100,000 kini dijual sekitar RM20,000 hingga RM30,000,” katanya sambil memberi amaran bahawa harga mungkin terus jatuh jika ketidaktentuan berterusan.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan penjual agar tidak panik.
“Saya beritahu pelanggan bahawa jika mereka menjual sekarang, mereka akan menanggung kerugian besar.
“Tangguhkan dahulu sehingga keadaan lebih jelas. Apabila keadaan kembali stabil, harga mungkin pulih kerana industri kita masih banyak bergantung kepada kenderaan diesel,” katanya.