JPJ siasat pemandu bas ekspres riba wanita ketika memandu

JPJ siasat pemandu bas ekspres riba wanita ketika memandu

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan kata pemandu dan syarikat bas itu sudah dikenalpasti.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang wanita mengendalikan stereng ketika duduk di atas riba pemandu bas ekspres yang sedang bergerak di lebuh raya.
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) memanggil seorang pemandu bas ekspres selepas tular satu video yang memaparkan lelaki itu memandu kenderaan tersebut sambil meriba seorang wanita.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata tindakan dan siasatan segera diambil selepas video terbabit tular, lapor Berita Harian.

“Pemandu yang dimaksudkan dan syarikat bas yang terbabit sudah dikenal pasti. Pemandunya sudah dipanggil untuk direkodkan keterangan pagi ini,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Katanya, sebaik siasatan selesai kes itu akan dirujuk kepada ketua pengarah JPJ untuk arahan lanjut.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pejabat JPJ berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu video dipercayai dirakam penumpang bas menunjukkan seorang wanita duduk di atas riba pemandu terbabit ketika bas berkenaan sedang bergerak.

Wanita berkenaan juga dilihat mengendalikan stereng kenderaan terbabit yang sedang bergerak di lebuh raya.

Menurut Berita Harian, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kulai, Johor ketika kejadian dirakam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.