Pemimpin PAS tolak cadangan tangguh PRN Johor, Melaka

Pemimpin PAS tolak cadangan tangguh PRN Johor, Melaka

Awang Hashim berkata pilihan raya perlu diteruskan seperti biasa untuk rakyat tentukan kerajaan baharu.

Awang Hashim mendakwa pilihan raya tidak sepatutnya ditangguhkan kerana apa yang dilakukan kerajaan hari ini dilihat tidak memihak kepada rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemipin PAS menolak cadangan PRN Johor dan Melaka ditangguhkan susulan krisis geopolitik di Timur Tengah dengan menekankan rakyat perlu diberi mandat memilih kerajaan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Awang Hashim menyifatkan gesaan oleh ahli Majlis Kerja Tertinggi Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad itu sebagai tidak munasabah.

Menurutnya, pilihan raya di dua negeri terbabit perlu diteruskan supaya rakyat dapat menentukan kerajaan baharu yang mampu menyusun semula ekonomi negara akibat krisis global sekarang

“Jika rakyat merasakan kerajaan sekarang sudah bertindak dengan betul, maka tiada masalah untuk mereka memilih semula kerajaan itu.

“Namun, pilihan raya tidak sepatutnya ditangguhkan kerana apa yang dilakukan kerajaan hari ini dilihat tidak memihak kepada rakyat,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan senada Ahmad dan Faezuddin supaya PRN Johor dan Melaka ditangguhkan susulan krisis geopolitik Timur Tengah.

Menurutnya, tiada keperluan mendesak untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat masih berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global.

Pada Mei tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi menegaskan PRN Johor tidak akan dibuat lebih awal, kerana pentadbiran kerajaan negeri itu hanya akan tamat pada April 2027.

Bagaimanapun, ada khabar angin mendakwa PRN Johor akan diadakan serentak dengan Melaka dan mungkin PRU16.

Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menolak kemungkinan PRU diadakan dalam masa terdekat dengan fokus kepada usaha menstabilkan negara susulan krisis global.

Sementara itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang turut mengulangi gesaan supaya kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan hal berkait krisis global.

“Kerajaan bercakap tentang mahu berdepan krisis, tetapi sidang Parlimen tidak dipanggil. Ini hanya akan menguatkan persepsi kerajaan tidak mempunyai pelan jelas menangani situasi semasa.

“Sebaliknya ia dilihat seolah-olah mahu mengambil kesempatan daripada krisis untuk menaikkan harga minyak, sekali gus membebankan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.