
Ketua Pemuda PKR Johor Faezuddin Puad berkata tiada keperluan mendesak untuk mengadakan pilihan raya ketika rakyat masih berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global.
“Saya senada dengan Ahmad Maslan tiada keperluan mendesak untuk menyegerakan PRN Johor ketika ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan tenaga dunia memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, sekali gus menuntut kepekaan semua pihak.
“Kita perlu peka dan sensitif terhadap keadaan semasa yang sedang ditanggung rakyat, bukan menambah beban mereka dengan percaturan politik,” katanya sambil berkata peningkatan kos pergerakan juga boleh menjejaskan kadar keluar mengundi.
Menurutnya, kebimbangan itu berasas berdasarkan pengalaman PRN Johor 2022 ketika pandemik Covid-19 yang hanya mencatatkan 54.92% kehadiran pengundi.
“Jika keadaan ekonomi terus menekan rakyat, tidak mustahil kadar keluar mengundi kekal rendah dan ini menjejaskan legitimasi keputusan pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, Ahmad yang juga timbalan ketua Umno Johor dilaporkan akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan Melaka dengan mengambil kira faktor ekonomi serta situasi global semasa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu akan membuat cadangan itu pada mesyuarat majlis berkenaan, Jumaat ini.
Pada Mei tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi menegaskan PRN Johor tidak akan dibuat lebih awal, kerana pentadbiran kerajaan negeri itu hanya akan tamat pada April 2027.
Bagaimanapun, ada khabar angin mendakwa PRN Johor akan diadakan serentak dengan Melaka dan mungkin PRU16.
Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menolak kemungkinan PRU diadakan dalam masa terdekat dengan fokus kepada usaha menstabilkan negara susulan krisis global.