
Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tengku Muqriz Shah Tengku Shahdizan, 31, selepas dia membuat pengakuan bearkenaan, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati memiliki 209 video pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit miliknya, kira-kira 3 petang di lokasi beralamat di Jalan Merpati 2, Kampung Serting Ulu, Batu Kikir, Jempol, pada 7 April lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, polis menahan lelaki itu di lokasi dan waktu sama sebelum merampas telefon miliknya lalu melakukan pemeriksaan.
Hasilnya, polis mendapati telefon berkenaan mengandungi 209 video pornografi kanak-kanak dan 292 video pornografi dewasa.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran dan pencegahan.
Ketika membuat rayuan, tertuduh berkata dia tiada pendapatan kerana tidak bekerja selain tidak tahu perbuatannya adalah satu kesalahan yang serius.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 7 April dan penjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh membayar denda.