SPRM kesan bekas pegawai menteri bantu siasatan

SPRM kesan bekas pegawai menteri bantu siasatan

Saifullah Minggu, 35, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta kerana menerima rasuah RM1.765 juta tujuh tahun lalu.

MOHD SAIFULLAH MOHD MINGGU@MOHD HISHAM SPRM PIC 13426
Saifullah Minggu, 35, yang alamat terakhirnya di KM 2, Jalan Bubul, Peti Surat 351, 91308 Semporna, Sabah, diperlukan bagi membantu siasatan kes. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pembantu kepada menteri pelancongan, seni dan budaya bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

SPRM memaklumkan Saifullah Minggu, 35, yang alamat terakhirnya di KM 2, Jalan Bubul, Peti Surat 351, 91308 Semporna, Sabah, diperlukan bagi membantu siasatan kes.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi lelaki itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Muhamad Saad Bordani di talian 012-6965046 atau emel [email protected] atau Mohd Fadzli Alias di talian 017-2817736 atau emel [email protected]

Pada November tahun lalu, Saifullah dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8.8 juta selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM1.765 juta, tujuh tahun sebelum itu.

Mahkamah turut memerintahkan dia menjalani tambahan tujuh tahun penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.

Pada Februari 2024, mahkamah memerintahkan Saifullah membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi lapan daripada 19 pertuduhan terhadapnya.

Lapan pertuduhan itu berkaitan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM1,765,000 oleh Saifullah daripada pemilik Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto, melalui Roslan Lahada.

Jumlah itu sebagai dorongan untuk Saifullah mendapatkan tender perkhidmatan pengeluaran jenama dan kreatif untuk Inter Bev.

Kesalahan itu dilakukan di Red Box Karaoke dan kedai kopi Coffee Bean di Pusat Beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur; di pejabat setiausaha sulit kanan kementerian di Putrajaya; di Vipod Residences di Temasya Anggun, Glenmarie, Selangor; dan di stesen minyak Petronas di Dengkil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.