
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, berkata bagaimanapun ia tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan daripada ketua jabatan.
“Tetapi bukan semua dapat (terlibat) kita akan tengok. Ia ada beberapa faktor yang kita akan pertimbangkan.
“Kelulusan untuk BDR bawah ketua-ketua jabatan,” katanya ditemui selepas merasmikan program Inovasi Sektor Awam 2026.
Sementara itu, dalam ucapannya Shamsul yakin walaupun kerajaan membenarkan penjawat awam bekerja dari rumah, ia tidak menjejaskan prestasi pentadbiran.
“Saya yakin penjawat awam tidak baring, duduk dan berehat, dan penjawat awam juga tidak membeli-belah di pasar raya (ketika BDR).
“Kita tidak boleh menjadikan pelaksanaan BDR ini sebagai alasan untuk melambat-lambatkan atau menangguhkan mana-mana program asal yang telah kita jadualkan.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah menyemak semula program-program agar ia bersesuaian dengan dasar penjimatan semasa, bukannya membatalkan atau menangguhkan program jika ia benar-benar perlu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shamsul berkata keupayaan untuk berinovasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan kritikal.
“Perkhidmatan awam dituntut bergerak lebih tangkas, adaptif dan berpandangan jauh dalam merangka penyelesaian yang bukan sahaja bersifat responsif, malah berupaya melakukan pencegahan awal serta berdaya tahan.
“Sudah tiba masa untuk kita membangunkan model inovasi yang berakar pada realiti Malaysia. Kita mempunyai asas inovasi domestik yang begitu kukuh,” katanya.
Beliau berkata, terdapat banyak peluang dan spektrum inovasi yang boleh diterokai serta diterjemahkan melalui pelbagai pendekatan praktikal
antaranya penggunaan analitik data raya bagi meramal keperluan rakyat secara lebih tepat, serta pendigitalan menyeluruh perkhidmatan kerajaan bagi mempercepat penyampaian.
“Hakikatnya, inovasi bukanlah sekadar berdaya cipta dalam teknologi baharu, tetapi juga tentang memperbaharui sistem, memperbaiki proses serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.