Gaduh depan sekolah, 16 termasuk 14 pelajar didakwa

Gaduh depan sekolah, 16 termasuk 14 pelajar didakwa

Mereka didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sesama sendiri dan membuat kekecohan di tempat awam.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Seramai 14 pelajar dan dua wanita dewasa yang terlibat dalam kes pergaduhan di hadapan sekolah di Iskandar Puteri, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seramai 14 pelajar dan dua wanita dewasa yang terlibat kes pergaduhan di hadapan sekolah di Iskandar Puteri, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata mereka akan didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sesama sendiri dan membuat kekecohan di tempat awam.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Seorang suspek juga akan menghadapi pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seorang lagi suspek.

“Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sejumlah RM2,000 atau kedua-duanya.

“Seorang lagi suspek berbeza juga akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan seorang lagi suspek,” katanya, menurut Sinar Harian.

Beliau turut menegaskan, sebarang bentuk pergaduhan atau salah laku jenayah dalam kalangan pelajar sekolah adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan.

Tambahnya, ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat diseru supaya bersama-sama memainkan peranan dalam mendidik dan memantau tingkah laku mereka agar tidak terjebak dalam jenayah.

Dalam kejadian Jumaat lalu, polis menerima maklumat daripada orang awam berkaitan pergaduhan pelajar di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai yang tular di media sosial.

Polis pada hari sama menahan 14 kanak-kanak lelaki dan dua perempuan dewasa lingkungan usia 12 tahun hingga 37 tahun di kawasan Taman Nusa Bestari dan Iskandar Puteri.

Ketika disoal siasat, semua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu yang berpunca akibat tidak puas hati apabila salah seorang daripadanya ditampar hingga membawa pergaduhan selepas waktu persekolahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.