PN tak layak digelar ‘kerajaan menunggu’ tanpa ketua pembangkang berfungsi, kata penganalisis

PN tak layak digelar ‘kerajaan menunggu’ tanpa ketua pembangkang berfungsi, kata penganalisis

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata PN dilihat lebih menumpukan ‘hal dalaman’ berbanding memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa efektif.

dewan rakyat
Abdul Hadi Awang berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini manakakala Muhyiddin Yassin gesa ia perlu dibuat segera. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis memberi amaran blok pembangkang mungkin tidak layak digelar kerajaan menunggu jika gagal menampilkan jurucakap boleh bertindak sebagai ‘arkitek isu rakyat’.

Peletakan jawatan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang, Sabtu lalu membuka ruang untuk penstrukturan semula kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zaharudin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata PN kini berada di persimpangan sama ada untuk menjadi pembangkang konstruktif atau terus kekal sebagai blok retorik.

“Jika PN terus gagal, mereka akan kekal sebagai pembangkang kosmetik iaitu hanya lantang di media sosial tetapi kosong di Parlimen.

“Ketua pembangkang baharu mesti menjadi arkitek penyelesaian, bukan sekadar jurucakap politik. Tanpa itu, PN tidak layak digelar ‘kerajaan menunggu’,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata realitinya PN dilihat lebih menumpukan kepada ‘isu dalam kain’ gabungan itu berbanding memainkan peranan sebagai pengimbang kuasa yang efektif dalam isu rakyat.

Menurutnya, kritikan oleh Khairy Jamaluddin yang menyifatkan PN sebagai ‘pembangkang paling tidak berguna’ mencerminkan kegagalan gabungan itu menawarkan alternatif dasar yang meyakinkan.

Zaharudin menegaskan ketua pembangkang baharu perlu memiliki ciri kepimpinan jelas termasuk lantang berfakta, membawa cadangan konkrit serta berperanan sebagai ‘arkitek penyelesaian’ kepada masalah rakyat.

Katanya, aspek kredibiliti dan integriti juga penting kerana rakyat semakin menolak politik retorik tanpa hala tuju, selain keupayaan komunikasi strategik bagi menguasai naratif media.

“Ini bukan soal siapa paling mesra dalam PN, tetapi siapa mampu memimpin dengan visi nasional dan merentasi kepentingan parti komponen,” katanya.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya pula berpandangan pembangkang perlu segera keluar daripada ‘mimpi lama’ kejayaan memperoleh 82 kerusi Parlimen pada PRU15.

Katanya, dalam sistem Westminster, ketua pembangkang perlu berfungsi sebagai ‘government in waiting’, bukan sekadar jurucakap politik yang berada pada tahap kepimpinan sederhana.

“Pembangkang tidak boleh tangkap muat calon sebaliknya perlu menyaingi pencapaian kerajaan semasa dan bersedia mengambil alih pentadbiran pada bila-bila masa.

“Jika PN terus gagal menampilkan kepimpinan yang agresif dan berwibawa, gabungan itu akan kekal dilihat tidak relevan, sekali gus mengukuhkan persepsi mereka belum bersedia menjadi alternatif kerajaan,” katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu perlu dibuat segera yang tidak perlu menunggu sidang Parlimen akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.