Muhyiddin temui Hadi, PN mula susun langkah ke Putrajaya, kata pemimpin Bersatu

Muhyiddin temui Hadi, PN mula susun langkah ke Putrajaya, kata pemimpin Bersatu

Razali Idris berkata hubungan PAS dan Bersatu kekal jadi teras kekuatan PN hadapi pilihan raya akan datang.

Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan hampir sejam di Rusila hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pertemuan antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Rusila menunjukkan Perikatan Nasional (PN) bukan lagi sekadar berbincang, sebaliknya sudah mula menyusun langkah ke hadapan untuk menawan Putrajaya pada PRU16.

Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris berkata pertemuan lebih sejam itu berlangsung dalam suasana mesra dan penuh kesepakatan, dengan fokus memperkukuh gabungan PN serta memantapkan kerjasama antara Bersatu dan PAS.

Katanya, hubungan kedua-dua parti itu kekal menjadi teras kekuatan PN dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Isyaratnya jelas, PN tidak lagi sekadar bersembang tetapi menyusun langkah ke depan untuk menawan Putrajaya pada PRU16,” katanya di Facebook.

Hubungan antara PAS dan Bersatu dilaporkan tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menyusuli kemelut politik Perlis yang menyaksikan jawatan menteri besar bertukar tangan penghujung tahun lalu.

Hadi dan Muhyiddin turut berbeza pandangan berkait pelantikan ketua pembangkang yang baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin.

Hadi berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata pelantikan itu perlu dibuat segera bagi mengelak spekulasi berpanjangan yang boleh menjejaskan imej gabungan PN.

Razali turut menekankan kepentingan menggerakkan jentera pilihan raya lebih awal tanpa menunggu saat akhir.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan gabungan berkenaan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

“Pertemuan ini bukan simbolik, tetapi merencana gerak kerja lebih besar menuju kemenangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.