
Ahli Parlimen Lumut Nordin Ahmad Ismail berkata tindakan itu menunjukkan Hamzah seorang pemimpin berjiwa besar yang tidak bergantung kepada jawatan.
“Bagi saya, langkah Hamzah ini adalah langkah awal sahaja, sebagai satu tindakan interim sebelum pengumuman lebih besar dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mendakwa, Ahli Parlimen Larut itu membuat keputusan berkenaan bagi mengelakkan Bersatu terus menjadikan Perikatan Nasional (PN) kucar kacir dan menekan PAS dengan menjadikan dirinya sebagai alasan.
“Setiausaha Agung PN sendiri mengesahkan bahawa tindakan itu diambil untuk memudahkan proses dalam PN sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran dan keharmonian dalam gabungan pembangkang utama negara. Itulah sikap seorang yang ikhlas dalam perjuangan,”katanya.
Nordin berkata di bawah kepimpinan Hamzah, blok pembangkang berjaya berfungsi secara tersusun di Dewan Rakyat, termasuk melalui pembentukan kabinet bayangan yang berkesan.
Beliau turut mendakwa Bersatu dijangka akan terus menimbulkan isu baharu bagi melemahkan PN, termasuk usaha membawa masuk parti lain yang berbeza ideologi ke dalam gabungan itu.
“Ia termasuklah ‘menyeludup’ masuk parti-parti yang dipimpin oleh P Ramasamy (Urimai) dan Waytha Moorthy (MAP) melalui Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).Sebagai ‘trojan horse’ mereka akan terus mencipta masalah sehingga matlamat agar PN lemah dan berpecah tercapai,”katanya.
Sementara itu, Nordin turut mempersoalkan sama ada Bersatu sudah menghantar surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul supaya kedudukan kerusi melibatkan Muhyiddin Yassin dipindahkan selepas tidak lagi mengalas jawatan pengerusi PN.
“Kalau ada maruah, elok pindah sebelum dipindahkan,” katanya.
Ahad lalu, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah bukan lagi penyandang jawatan ketua pembangkang dan perkara itu akan dimaklum kepada Speaker Dewan Rakyat.