Jawatan ketua pembangkang wajar diputus presiden komponen PN, kata Ahli Parlimen Bersatu

Jawatan ketua pembangkang wajar diputus presiden komponen PN, kata Ahli Parlimen Bersatu

Suhaimi Abdullah berkata cadangan pengundian di kalangan wakil rakyat pembangkang berisiko mewujudkan perpecahan dalaman.

Suhaimi Abdullah berkata beliau cenderung dengan cara lama memilih ketua pembangkang berbanding pemilihan membabitkan wakil rakyat dari blok itu seperti dicadangkan Badrul Hisham Shaharin.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen Bersatu berpandangan pelantikan ketua pembangkang baharu wajar dibuat melalui perbincangan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) bukan menerusi pengundian dalam kalangan wakil rakyat blok itu.

Ahli Parlimen Langkawi Suhaimi Abdullah berkata cadangan supaya jawatan itu dipilih melalui undian seperti disuarakan bekas ketua Bersatu Port Dickson Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, tidak selari dengan amalan sedia ada.

Menurutnya, melalui amalan itu Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dipilih oleh pimpinan bukan konsensus penuh ahli Dewan Rakyat dari PN.

“Tradisi pelantikan ketua pembangkang sebelum ini dibuat berdasarkan pencalonan oleh presiden parti.

“Saya bukan tak setuju tapi lebih suka ikut cara lama yang telah berjalan dengan baik.

“Jadi kali ini pun saya rasa presiden-presiden parti patut duduk berbincang,” katanya kepada FMT.

Chegubard menerusi Facebooknya meminta Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan pemilihan ketua pembangkang baharu kepada semua wakil rakyat dari blok itu.

“Siapa dipilih majoriti oleh Ahli Parlimen pembangkang maka layak jadi ketua,” katanya yang dipecat Bersatu, bulan lalu.

Namun Suhaimi yang juga ketua Bersatu Kedah berkata cadangan mengadakan pengundian dalam kalangan wakil rakyat pembangkang berisiko mewujudkan perpecahan dalaman.

“Kalau buat undian saya bimbang akan jadi dua kem. Akan ada kempen dan persaingan kerana jawatan ini agak ‘glamour’,” katanya yang cenderung pendekatan tradisi yang dianggap lebih stabil.

Ahad lalu, Samsuri mengesahkan Hamzah yang dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu, bukan lagi ketua pembangkang selepas meletak jawatan disandangnya sejak PRU15.

Sebelum ini, PN memutuskan Ahli Parlimen PAS dilantik bagi mengisi kekosongan itu sebelum penghujung Mac lalu namun tiada pengumuman berkait dengannya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu perlu dibuat segera yang tidak perlu menunggu sidang Parlimen akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.