Kemudaratan ‘online’ menguatkan keperluan perlindungan bawah 16 tahun, kata pakar

Kemudaratan ‘online’ menguatkan keperluan perlindungan bawah 16 tahun, kata pakar

Hartini Zainudin dari Yayasan Chow Kit dan ahli psikologi Joel Low berkata jumlah tinggi kes buli siber, pengantunan dan kandungan memudaratkan menunjukkan langkah sedia ada gagal.

Children Playing Handphones
Kes buli siber yang tinggi dan pengantunan kanak-kanak di media sosial mengukuhkan pandangan bahawa akses terhadap platform itu memudaratkan bagi kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Kadar tinggi kes buli siber, pengantunan kanak-kanak dan kandungan memudaratkan mencetuskan lebih banyak desakan supaya akses media sosial dihadkan hanya kepada mereka berusia bawah 16 tahun.

Seorang aktivis yang mengendalikan kanak-kanak terpinggir dan seorang ahli psikologi menyatakan risiko sedemikian bukan lagi kejadian terpencil.

Mereka setuju, kini wujud corak yang lebih meluas menunjukkan langkah perlindungan sedia ada sukar mengikuti perkembangan cara platform digital beroperasi.

Pengasas Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin, berkata angka tersebut bukan sahaja mencerminkan tahap kemudaratan tetapi masalah struktur yang lebih mendalam.

“Kita tahu skala (masalah ini), tetapi kita gagal mencegah kemudaratan (yang berlaku). Kita hanya bertindak selepas kerosakan berlaku,” katanya kepada FMT.

Data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan antara 1 Jan hingga 1 Nov 2024, sebanyak 8,399 aduan buli siber dilaporkan, bersamaan kira-kira 27 kes sehari.

Bernama pula melaporkan, antara 1 Jan 2022 hingga 15 Feb 2026, sebanyak 1,578 permintaan dibuat untuk menurunkan kandungan melibatkan kanak-kanak, dengan 96% berjaya dipadamkan.

Disember tahun lalu, Australia melaksanakan larangan seluruh negara terhadap akses media sosial bagi mereka yang berusia bawah 16 tahun, menjadikannya negara pertama mengambil langkah itu untuk melindungi kanak-kanak daripada pendedahan kepada kemudaratan media sosial.

Langkah mewajibkan platform media sosial melarang individu bawah 16 tahun membuka akaun dijangka dilaksanakan di Malaysia pada separuh kedua 2026.

Hartini berkata, kelemahan perlindungan dan kurang kebertanggungjawaban menyebabkan kanak-kanak khususnya dari latar belakang rentan terdedah kepada risiko lebih tinggi.

“Isunya bukan sekadar kanak-kanak berada dalam talian, tetapi apa yang mereka terdedah dan bagaimana platform itu direka,” katanya memaklumkan walaupun media sosial boleh memberikan hubungan dan sokongan, ‘persekitaran (operasinya juga) penting’.

Joel Low dari Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP) berkata, kesan psikologi akibat pendedahan itu jelas kelihatan dalam kalangan pengguna muda.

“Penyebaran dan akses meluas yang disediakan oleh media sosial sudah cukup membebankan bagi kebanyakan orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak dan remaja.

“Mereka kemudian membandingkan diri dengan seluruh dunia dan menilai diri berdasarkan itu. Semua ini akan memberi kesan buruk terhadap psikologi seseorang, harga dan identiti diri,” katanya.

Walaupun risiko ini wujud, pakar berkata pendekatan semasa — termasuk kempen kesedaran, pemantauan ibu bapa dan alat pelaporan platform — masih bersifat reaktif.

“Laporan hanya dibuat selepas kemudaratan berlaku,” kata Hartini. “Kesedaran sahaja tidak cukup. Kita meletakkan terlalu banyak tanggungjawab kepada kanak-kanak dan ibu bapa, dan tidak cukup kepada sistem.”

Beliau menegaskan, platform direka untuk memaksimumkan penglibatan, bukan keselamatan.

“Jika kanak-kanak terjejas atau mengalami kemudaratan dalam skala besar, itu adalah kegagalan sistem,” katanya.

Low turut senada, skala dan sifat internet menyukarkan kawalan sepenuhnya terhadap interaksi memudaratkan selepas pendedahan berlaku.

“Saya tidak fikir kita akan benar-benar mampu ‘mengawalnya’ dengan berkesan,’ katanya, menyatakan jumlah kes dilaporkan menunjukkan betapa meluasnya masalah ini.

Sebagai respons terhadap risiko semakin meningkat ini, cadangan kerajaan untuk menangguhkan akses bebas media sosial sehingga usia 16 tahun semakin dilihat sebagai langkah pencegahan, bukannya hukuman.

Low menyifatkannya sebagai tindakan yang betul.

“Pada saya, dasar ini adalah peringatan baik kepada semua — kanak-kanak dan orang dewasa — terdapat kemudaratan yang sememangnya wujud.”

Bagi keluarga, mesejnya jelas: perbincangan kini beralih kepada pencegahan dan semakin menjadi teras dalam perlindungan kanak-kanak dalam landskap digital yang semakin kompleks.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.