Friends of BN akan diberi kerusi pada PRN, kata Zahid

Friends of BN akan diberi kerusi pada PRN, kata Zahid

Pengerusi BN berkata ia bagi menghargai kesetiaan Friends of BN selama ini.

Zahid Hamidi , Zambry Abdul Kadir (kiri) dan Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader
Zahid Hamidi pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kimma 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, bersama Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir (kiri) dan Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi berkata gabungan akan mengekalkan formula agihan kerusi sedia ada pada pilihan raya akan datang, dengan beberapa penyesuaian bagi menghargai kesetiaan Friends of BN selama ini.

Presiden Umno berkata langkah itu penting bagi memastikan kerjasama politik yang terjalin dapat diterjemahkan melalui pengagihan kerusi yang adil dan seimbang.

Tegasnya, BN menghargai sokongan berterusan semua kepimpinan parti komponen yang mendukung perjuangan gabungan tersebut termasuk Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

Selain Kimma, Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) juga diterima sebagai ‘Friends of BN’.

Beliau berkata, Kimma dan kumpulan Friends of BN sebelum ini telah diberikan peluang untuk bertanding dan pendekatan sama akan diteruskan.

“Formula itu akan digunakan, mungkin dengan penyesuaian berdasarkan penelitian setiausaha agung BN, termasuk menambah kerusi yang sesuai kepada rakan gabungan,” katanya.

Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kimma 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut hadir, Presiden Kimma Syed Ibrahim Kader dan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir.

Menurutnya, sokongan itu amat penting dalam menghadapi pilihan raya di Melaka, Johor dan Perak akan datang.

Beliau turut memaklumkan persiapan jentera pilihan raya telah dimulakan sejak awal, namun mengakui sokongan ahli parti semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan.

“Jentera perlu bergerak lebih agresif untuk menarik sokongan pengundi luar, termasuk mereka yang bukan ahli parti,” katanya.

Katanya, usaha mendekati pengundi perlu dilaksanakan dari sekarang tanpa menunggu pembubaran atau tarikh pilihan raya diumumkan.

“Tidak kira bila pilihan raya negeri atau umum diadakan, gerak kerja mesti berjalan dari sekarang,” katanya.

Mengulas cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Ahmad Maslan supaya PRN Johor dan Melaka ditangguhkan, Zahid berkata perkara itu hanyalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi Umno atau BN.

“Itu pandangan peribadi beliau, bukan pendirian parti atau BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.