Risiko dalam talian perkukuh cadangan tangguh media sosial bawah 16 tahun

Risiko dalam talian perkukuh cadangan tangguh media sosial bawah 16 tahun

Pakar psikologi Joel Low berkata tahap pendedahan yang tinggi sahaja sudah boleh memberi kesan negatif.

Cadangan dasar ini akan meletakkan akaun sedia ada milik individu bawah 16 tahun di bawah pemantauan ibu bapa, bukannya memadamkannya sepenuhnya.
PETALING JAYA:
Desakan supaya akses media sosial ditangguhkan sehingga usia 16 tahun semakin meningkat, susulan kebimbangan pakar dan ibu bapa terhadap risiko yang semakin serius seperti buli siber, aktiviti ‘grooming’ (pengantunan) dan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

Dasar dicadangkan itu dijangka mencontohi pendekatan ‘tangguh, bukan larang’ seperti dilaksanakan di Australia, iaitu mengekalkan akaun sedia ada milik individu golongan terbabit di bawah pemantauan ibu bapa, bukannya memadamkannya sepenuhnya.

Unicef Malaysia memberi amaran kanak-kanak sering berdepan buli, ‘grooming’ serta eksploitasi seksual dalam talian, manakala data rasmi pula menunjukkan peningkatan kes yang membimbangkan.

Menurut laporan Bernama, sebanyak 1,578 permohonan dikemukakan antara Januari 2022 hingga 15 Feb tahun ini bagi menurunkan kandungan melampau melibatkan kanak-kanak, dengan 96% daripadanya berjaya dipadamkan.

Dalam tempoh sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 8,399 aduan berkaitan buli siber dari Januari hingga Oktober tahun lalu, bersamaan kira-kira 27 kes sehari.

Risiko sepanjang masa 

Pakar psikoterapi Dr Prem Kumar berkata bentuk ancaman dalam era digital kini berubah dengan ketara, dengan media sosial memperluaskan risiko melebihi apa yang pernah berlaku dalam persekitaran tradisional.

“Hari ini ia berlaku 24 jam, pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Tiada lagi had seperti waktu persekolahan atau lokasi tertentu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata faktor anonimiti dan capaian yang meluas menjadikan kanak-kanak lebih terdedah, selain mengurangkan akauntabiliti.

Pakar psikologi Joel Low pula berkata tahap pendedahan yang tinggi itu sendiri sudah boleh memberi kesan negatif.

“Akses disediakan media sosial terlalu meluas dan boleh membebankan, walaupun bagi orang dewasa. Bagi kanak-kanak, ia boleh menjejaskan pembentukan identiti mereka,” katanya.

Prem berkata pendedahan awal kepada penderaan juga boleh mengganggu proses pembentukan identiti ketika remaja.

“Pada tahap usia ketika mereka sepatutnya membina kepercayaan dan keyakinan diri, yang berlaku sebalikya dengan hilang rasa percaya dan timbul rasa rendah diri,” katanya.

Menurutnya, kesan itu boleh berlarutan hingga dewasa dan menjejaskan hubungan serta kestabilan emosi.

Kebimbangan ibu bapa semakin meningkat 

Ibu bapa turut menyuarakan kebimbangan sama. Rebecca Lee, ibu kepada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, berkata golongan itu masih belum cukup matang untuk mengurus risiko dalam talian.

“Kebanyakan yang berusia bawah 16 tahun masih belum cukup matang untuk mengenal pasti bahaya ini atau melindungi diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata penggunaan pasif seperti melayari kandungan atau menonton video juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada bahan mengganggu atau berunsur seksual tanpa amaran.

“Kanak-kanak boleh terdedah kepada kandungan berbahaya pada bila-bila masa. Ia boleh menyebabkan mereka keliru atau menimbulkan rasa ingin tahu yang tidak sihat,” katanya.

Lee berkata walaupun alat seperti kawalan ibu bapa dan sistem laporan membantu, ia masih tidak mencukupi untuk melindungi kanak-kanak sepenuhnya.

Bukan penyelesaian mutlak

Pakar menegaskan cadangan penangguhan itu perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas bagi mengurangkan risiko, bukannya penyelesaian menyeluruh.

Low menyifatkannya sebagai ‘permulaan yang baik’, namun berkata ia perlu disokong dengan usaha kesedaran dan pendidikan yang lebih kukuh.

Prem pula berkata peraturan semata-mata tidak akan menyelesaikan punca masalah.

“Larangan sahaja tidak pernah berkesan. Ia perlu melibatkan bimbingan, literasi digital dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Lee menekankan kepentingan mendidik dan menyediakan kanak-kanak lebih awal sebelum mereka terdedah kepada media sosial.

“Tiada aplikasi atau penapis yang boleh menggantikan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Yang paling penting ialah membina kepercayaan dan memastikan anak-anak tahu mereka boleh berkongsi dengan ibu bapa pada bila-bila masa jika sesuatu dirasakan tidak kena,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.