WCE cipta sejarah, raih emas PR Awards 2026 bagi penggunaan teknologi AI

WCE cipta sejarah, raih emas PR Awards 2026 bagi penggunaan teknologi AI

Pengiktirafan itu mencerminkan keupayaannya memanfaatkan teknologi dan AI secara strategik bagi memperkukuh komunikasi awam khususnya dalam pengurusan isu, pemantauan sentimen serta penyampaian maklumat pantas.

Syed Mohammed Idid menerima anugerah emas bagi kategori penggunaan teknologi dan AI untuk perhubungan awam pada PR Awards 2026 di Singapura, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) mencipta sejarah apabila muncul syarikat konsesi lebuh raya pertama di Malaysia memenangi anugerah emas bagi kategori penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk perhubungan awam pada PR Awards 2026.

Anugerah anjuran MARKETING-INTERACTIVE itu disampaikan di Singapura baru-baru ini dan menjadi platform pengiktirafan utama bagi industri perhubungan awam merangkumi Asia Selatan, Asia Tenggara dan Oceania.

Penilaian dibuat panel bebas terdiri daripada pakar industri berpengalaman.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE Syed Mohammed Idid berkata pihaknya amat berbesar hati menerima pengiktirafan berkenaan.

Menurutnya, lebih bermakna kejayaan itu meletakkan WCE sebagai penanda aras baharu bagi industri lebuh raya di Malaysia.

“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pasukan kami dalam memperkukuh komunikasi bersama pihak berkepentingan.

“Dengan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kami memastikan maklumat disampaikan sentiasa tepat, pantas dan memberi nilai sebenar kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Syed Mohammed Idid bersama sebahagian warga kerja WCE meraikan kejayaan meraih anugerah emas bagi kategori penggunaan teknologi dan AI untuk perhubungan awam pada PR Awards 2026.

WCE pula berkata pengiktirafan itu mencerminkan keupayaannya memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara strategik bagi memperkukuh komunikasi awam.

Menurutnya, ia khususnya dalam pengurusan isu, pemantauan sentimen serta penyampaian maklumat yang pantas dan berkesan kepada pengguna lebuh raya serta pihak berkepentingan.

Sepanjang tempoh penilaian, WCE memperkukuh kerangka komunikasinya menerusi integrasi alat pemantauan media dan analitik berasaskan AI.

Pendekatan itu membolehkan syarikat memahami sentimen awam secara masa nyata, mengenal pasti risiko komunikasi lebih awal, serta memastikan mesej yang disampaikan tepat, konsisten dan relevan dengan keperluan semasa.

Menurut WCE, pendekatan berasaskan data itu juga meningkatkan keupayaan syarikat memberi respons pantas merentas pelbagai saluran komunikasi, sekali gus membantu orang ramai memahami dengan lebih jelas pembangunan dan operasi lebuh raya berkenaan.

“Inisiatif berkenaan memperlihatkan teknologi bukan sekadar berperanan sebagai alat sokongan, sebaliknya menjadi pemacu utama kecekapan, ketelusan dan pembinaan kepercayaan dalam perhubungan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.