Kapal LCS 1 Maharaja Lela dijadual serah Disember ini

Kapal LCS 1 Maharaja Lela dijadual serah Disember ini

Timbalan Panglima Tentera Laut Badarudin Taha, berkata secara keseluruhan, pembinaan lima kapal LCS di Lumut Naval Shipyard kini mencapai kemajuan 76.88%.

Selain LCS 1 Maharaja Lela, kapal LCS 2 ‘Raja Muda Nala’ dan LCS 3 ‘Sharif Mashor’ masing-masing dijangka diterima pada April dan Disember 2027. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada tentera laut, pada Disember ini.

Timbalan Panglima Tentera Laut Badarudin Taha, berkata secara keseluruhan, pembinaan lima kapal LCS di Lumut Naval Shipyard kini mencapai kemajuan 76.88%.

Beliau berkata , penyerahan kapal itu ialah sebahagian usaha pemodenan aset dan rasionalisasi angkatan bagi memastikan kesiagaan tentera laut sentiasa berada pada tahap tertinggi.

“Selain Maharaja Lela yang dijadualkan diserahkan pada Disember ini, kapal LCS 2 ‘Raja Muda Nala’ dan LCS 3 ‘Sharif Mashor’ masing-masing dijangka diterima pada April dan Disember 2027,” katanya menurut Bernama.

Sebelum ini, dilaporkan Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata LCS 1 telah memulakan perjalanan laut pertama pada 28 Jan lalu bagi tujuan pengujian sistem jentera, jana kuasa, sistem penyaman udara, dan sistem pendorongan.

Dalam pada itu, Badarudin berkata tentera laut sedang membina ‘networked fleet’ atau rangkaian armada yang seimbang dan berkeupayaan melaksanakan penugasan merentasi pelbagai spektrum, daripada operasi keselamatan maritim sehingga tahap peperangan.

Beliau berkata, selain projek LCS pembinaan tiga Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB 2) di Istanbul Shipyard, Turki turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila mencapai tahap 47.9% setakat ini.

“Ketiga-tiga kapal LMSB 2 yang mula dibina pada 4 Dis 2024 dijangka diserahkan secara berperingkat bermula pada Oktober hingga Disember 2027, manakala upacara penamaan serta pelancaran kapal dijadualkan berlangsung pada Mei, Jun dan Ogos tahun ini,” katanya.

Badarudin berkata, pembangunan projek dua Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) turut diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan keupayaan armada.

“Pemodenan ini bukan sekadar penambahan aset, tetapi turut memperkukuh keupayaan tempur dan kesiapsiagaan armada dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim semasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata tentera laut kini giat melatih bakal warga kapal dan ‘base maintainer’ di dalam serta luar negara sebagai persediaan menerima kapal LCS dan LMSB 2.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.