
Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata, Muhammad Loqman Afandy meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka pada 8.09 malam tadi.
Menurut polis, murid SJKC Ayer Keroh itu bersama seorang lagi adiknya Muhammad Adam dan dua lagi rakan mereka masing-masing berusia 10 tahun pergi ke kawasan longkang berhampiran rumah mereka di Taman Ayer Keroh Height untuk bermain air kira-kira 4.30 petang semalam.
“Ketika itu, cuaca hujan renyai dan arus longkang deras. Muhammad Adam Afandi hanyut dibawa arus air yang deras dan melihat insiden itu, Muhammad Loqman dan seorang lagi rakannya dikenali Yuvanath cuba menyelamatkan mangsa.
“Ketiga-tiga mereka turut hanyut, namun Muhammad Adam dan Yuvanath berjaya menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran berhampiran,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Christopher berkata, ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada Muhammad Adam memaklumkan kejadian pada 5.45 petang sebelum membuat panggilan kecemasan bagi melapor dan mendapatkan bantuan awal di lokasi.
Pasukan bomba kemudian tiba di lokasi kejadian pada 6.10 petang dan Muhammad Loqman ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan kira-kira 20 minit selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
Menurutnya, anggota bomba telah memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.