
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata mereka antara 175 aktivis kemanusiaan GSF yang dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion dengan bas disediakan pihak Greece.
SNCC dimaklumkan kerajaan Turki menyediakan sebuah pesawat berkapasiti 160 penumpang bagi membawa pulang 20 aktivis kemanusiaan warga negara itu, selain menawarkan tempat kepada mana-mana aktivis GSF untuk turut menaiki penerbangan berkenaan.
“Pelepasan penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang Heraklion dijangka pada 10.15 malam waktu Malaysia dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 11.45 malam waktu Malaysia,” katanya pada sidang media.
Beliau mengesahkan 10 aktivis Malaysia yang telah dibebaskan akan terbang ke Istanbul.
SNCC turut menerima laporan bahawa aktivis berdepan provokasi dan serangan fizikal selain dipaksa berada dalam keadaan tidak selesa sehingga berlaku insiden keganasan yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa peserta ketika penahanan.
Beliau berkata dua ahli jawatankuasa induk GSF, Saif Abukeshek dan Thiago Avila, masih dalam tahanan pihak rejim, dipercayai bertujuan mengugut dan melumpuhkan misi.
SNCC telah berhubung dengan Kementerian Luar bagi menyelaras urusan perjalanan aktivis Malaysia dari Greece ke Istanbul.
“Tiga wakil SNCC sudah berada di Istanbul untuk pengurusan dan penilaian,” katanya.
Selain itu, beliau berkata keputusan sama ada 10 aktivis Malaysia terlibat akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air bergantung pada status kesihatan dan situasi semasa konsensus SNCC dan GSF.
Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza, sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.