Agrobank sumbang RM161,000 perkasa pendidikan digital SMK Kuala Perlis

Agrobank sumbang RM161,000 perkasa pendidikan digital SMK Kuala Perlis

Sumbangan bawah inisiatif Pre-Google for Education Reference Institution itu merangkumi infrastruktur digital, peranti pembelajaran dan sokongan ekosistem pendidikan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Gambar MAIPs) 1526
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyertai aktiviti kayuh perahu panjang Agrobank sempena perasmian Cawangan Agrobank Kuala Perlis. (Gambar MAIPs)
PETALING JAYA:
Agrobank menyalurkan sumbangan bernilai RM161,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis bagi memperkukuh akses pelajar kepada pendidikan digital.

Sumbangan di bawah inisiatif Pre-Google for Education Reference Institution (Pre-GRI) itu merangkumi kemudahan infrastruktur digital, peranti pembelajaran dan sokongan ekosistem pendidikan yang lebih menyeluruh.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan itu sempena perasmian Cawangan Agrobank Kuala Perlis di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank Syed Hairul Anuar Syed Fadzil, Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan Agrobank, Fairoshawal Idrus dan Ketua Shariah Kumpulan Agrobank, Hishamuddin Ab Hamid.

Menurut Agrobank, inisiatif itu bertujuan membuka ruang lebih luas kepada pelajar untuk mengikuti pembelajaran berasaskan teknologi, meningkatkan literasi digital serta membina kemahiran masa depan.

Sempena majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan mengetuai aktiviti kayuh perahu panjang Agrobank yang bermula dan berakhir di Jeti Kastam Kuala Perlis.

Program itu diadakan bersama MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, membabitkan lebih 100 peserta terdiri daripada ketua jabatan serta agensi negeri dan Persekutuan.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih, iaitu Saleha Ali, 82, dari Taman Bukit Kubu; Habsah Ahmad, 69, dari Kampung Tanah Baru; dan Rohani Isa, 56, dari Kampung Bukit Tok Po.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.