Mayat wanita dengan 61 kesan tikaman ditemui di tepi sawah

Mayat wanita dengan 61 kesan tikaman ditemui di tepi sawah

Mangsa difahamkan menuntut di sebuah kolej Kota Bharu dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan dikatakan baru di semester tiga.

Mohd Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat berkata terdapat 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa, bermula dari bahagian muka hingga kaki. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wanita yang ditemui maut dengan 61 kesan tikaman di Kampung Kubang Kiat, Ketereh, tengah malam tadi ialah penuntut kolej berusia 19 tahun berasal dari Perak.

Menurut Harian Metro, mangsa difahamkan menuntut di sebuah kolej Kota Bharu dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan dikatakan baru di semester tiga.

Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung penemuan mayat itu pada 12.30 tengah malam tadi.

“Pemeriksaan awal oleh pasukan forensik polis mendapati 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa, bermula dari bahagian muka hingga kaki.

“Kebanyakan kecederaan tertumpu di bahagian kanan badan mangsa. Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain, sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, tempat kejadian ialah kawasan sawah gelap dan tiada pencahayaan lampu jalan, terletak kira-kira 47m dari kediaman penduduk terdekat.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui, tetapi mangsa memakai rantai leher berukir nama “SYAA”, seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.

Semasa ditemui, katanya, mangsa berbaju lengan panjang hitam dan berseluar panjang hitam.

Turut dijumpai di tempat kejadian beberapa barangan lain, termasuk seutas manik berwarna-warni, cermin mata putih dan sehelai selendang berwarna belacan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat.

“Identiti mangsa dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.