
Ketua Projek Mindmatics Syed Firdaus Sayed Rohani, berkata penerbangan ujian berkenaan bertujuan menguji kemampuan sebenar dron itu ketika beroperasi.
“Aspek yang akan diuji dalam penerbangan cubaan berkenaan kelak antaranya melibatkan jarak operasi penerbangan, kelajuan, tempoh operasi, dan kemampuan dron berkenaan membawa kepala peledak,” katanya kepada Bernama.
Syed Firdaus berkata, Todak buat kali pertama dipamerkan kepada umum pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 (DSA 2024).
Beliau berkata, dron tersebut boleh membawa kepala peledak hingga 0.5kg dengan keupayaan terbang ke sasaran sejauh 75km.
Beliau berkata, Todak direka sebagai peluru pintar dengan keupayaan menyerang sasaran secara tepat, sama ada pegun atau bergerak.
“Dron ini dilengkapi dengan algoritma kecerdasan buatan (AI) serta unit kawalan tembakan bersaiz kecil bagi meningkatkan ketepatan serangan dan mempunyai masa operasi hingga 40 minit, dan dron ini juga mencerminkan kemajuan keupayaan tempatan.
“Keupayaannya membawa beban letupan serta dilancarkan melalui sistem ‘catapult’ menjadikannya fleksibel dalam pelbagai senario operasi,” katanya.
Syed Firdaus berkata, Todak bersedia untuk menjadi aset baharu atau aset masa hadapan pasukan pertahanan bagi memastikan pertahanan negara lebih moden dan berkemampuan.
“Dron kamikaze bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik dalam menghadapi ancaman masa depan dan angkatan pertahanan negara perlu bergerak seiring dengan perubahan ini bagi memastikan kesiapsiagaan kekal relevan,” katanya.