Jualan Agro Madani Perlis promosi hasil pertanian negeri

Jualan Agro Madani Perlis promosi hasil pertanian negeri

Pengunjung juga berpeluang beli pelbagai produk dan hasil pertanian asli Perlis seperti mangga Harumanis dengan promosi istimewa.

Syed Faizuddin Putra
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan simbolik pelancaran Program Jualan Agro Madani Edisi Perlis di Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, Selangor. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis terus mempergiat usaha memperkenalkan serta mempromosikan keistimewaan hasil pertanian negeri itu menerusi penganjuran Program Jualan Agro Madani Edisi Perlis berlangsung di Ibu Pejabat FAMA di Selayang.

Program di FAMA Point itu disempurnakan pelancarannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan bersama barisan pengurusan tertinggi FAMA.

Program ini mengetengahkan pelbagai produk dan hasil pertanian asli Perlis dengan tarikan utama berupa penjualan mangga Harumanis premium, set kombo khas edisi Perlis serta pelbagai pilihan produk agromakanan meliputi sayuran segar, buah tempatan dan ayam.

Turut dijual terus kepada pengguna tanpa melalui rantaian orang tengah ialah pembagai barangan keperluan asas.

Program ini turut melibatkan penyertaan usahawan bimbingan FAMA Perlis yang terdiri daripada pengusaha tempatan industri makanan, produk kerepek, pes masakan serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) asli Perlis.

Peladang dan pengusaha ladang di bawah FAMA turut mengambil bahagian dengan membekalkan mangga Harumanis gred premium yang segar dan baru dipetik, manakala usahawan tani pula menawarkan hasil sayuran dan buah-buahan terus dari ladang kepada pengguna.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian berasaskan produk mangga Harumanis serta melancarkan Program Jualan Agro Madani Edisi Perlis menerusi gimik plak perasmian.

Baginda berdua turut berkenan melawat beberapa rerurai jualan dan menyaksikan pelbagai promosi istimewa termasuk ‘Happy Hour Kombo Madani’, ‘Happy Hour Mangga Harumanis Perlis’ serta simbolik ‘Kacau Pulut Kucai Harumanis Perlis’ sebagai simbol sokongan terhadap produk tradisional dan usahawan tempatan.

Program ini bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan keunikan hasil pertanian Perlis kepada masyarakat luar, malah turut memperkukuhkan jaringan pemasaran usahawan tani tempatan serta membantu rakyat mendapatkan produk segar berkualiti pada harga berpatutan.

Inisiatif seumpama ini juga selari dengan usaha memperkasakan sektor agromakanan negara dan memperluaskan akses pasaran kepada usahawan tempatan secara lebih mampan dan berdaya saing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.