
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri baginda berdua iaitu harifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan baginda berdua disambut Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Mara Zulfikri Osman.
Program dengan tema ‘Dari Sempadan ke Kota Raya’ itu merupakan sebuah program jualan dan pameran berskala besar anjuran Mara Perlis dengan kerjasama usahawan tempatan yang berlangsung mulai 20 hingga 22 Mei 2026.
Penganjuran program ini bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2026 bagi mengetengahkan keunikan Perlis, termasuk produk ikonik, warisan budaya, makanan tradisional serta potensi pelancongan negeri kepada masyarakat di ibu kota.
Program ini turut menjadi platform strategik dalam memperluaskan akses pasaran usahawan bimbingan Mara Perlis ke peringkat nasional, sekali gus memperkukuhkan daya saing produk tempatan serta membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas dan mampan.
Antara tarikan utama yang disediakan pada kali ini ialah gerai ‘Malaysia X Thailand Food Street’ yang menampilkan pelbagai hidangan utara dan menu autentik Thailand, ‘House of Harum Manis’ yang menawarkan mangga harumanis Perlis gred premium terus dari ladang.
Turut jadi tarikan ialah pameran ‘Padang Besar & Kuala Perlis Street’ yang menghimpunkan jualan produk bebas cukai, pakaian, makanan kering dan kraf tangan yang sinonim dengan kawasan sempadan utara negara.
Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai acara interaktif dan persembahan kebudayaan menerusi pentas kebudayaan dan pertandingan yang menampilkan pertandingan seni silat, ‘Bridal World Heritage’, pertandingan mewarna dan karaoke.