Saifuddin gesa tadbir urus berperikemanusiaan, rakyat bukan sekadar angka

Saifuddin gesa tadbir urus berperikemanusiaan, rakyat bukan sekadar angka

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata tadbir urus itu bagi memastikan rakyat dibantu secara adil, saksama dan bermaruah.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah turut gesa sistem kebajikan negara disusun semula dengan alasan terlalu banyak agensi, organisasi dan yayasan di peringkat persekutuan serta negeri.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata pentadbiran negara perlu beralih kepada tadbir urus lebih berempati dengan memastikan rakyat tidak dilayan sekadar sebagai angka, tetapi insan perlu dibantu secara adil dan bermaruah.

Beliau berkata prinsip ‘tadbir urus berperikemanusiaan’ perlu menjadi asas kepada pentadbiran kerajaan, perkhidmatan awam, sistem kebajikan dan pelaksanaan undang-undang supaya tiada rakyat tercicir, terpinggir atau dizalimi.

Menurut bekas menteri luar negeri itu, pendekatan berkenaan penting bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang rakyatnya bukan sahaja menikmati perkhidmatan kerajaan yang bermutu, tetapi turut merasa selamat, dihargai dan yakin terhadap masa depan mereka.

“Rakyat yang memerlukan bantuan mesti disantuni dengan proaktif, empati, inklusif dan saksama.

“Rakyat adalah insan, bukannya perangkaan,” katanya dalam tulisan di ruangan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan Sinar Harian.

Tulisan itu menghuraikan tonggak ketiga Konsensus Nasional Baharu yang dibawa Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin iaitu ‘tadbir urus berperikemanusiaan’.

Dua tonggak lain adalah ‘matlamat bersama’ dan ‘kemakmuran bersama’.

Saifuddin turut menggesa sistem kebajikan negara disusun semula, dengan alasan terlalu banyak agensi, organisasi dan yayasan di peringkat persekutuan serta negeri, namun masih ramai rakyat tidak menerima bantuan sepatutnya.

“Negara mempunyai terlalu banyak agensi, organisasi dan yayasan kebajikan persekutuan dan negeri. Tetapi masih ramai tidak mendapat bantuan sewajarnya. Ia mesti disusun semula,” katanya.

Menyentuh aspek undang-undang, Saifuddin berkata rakyat berdepan masalah perundangan mesti dibantu secara adil tanpa amalan pilih bulu dalam siasatan, prosiding mahupun keputusan.

Saifuddin turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Undang-Undang bagi menilai dan memperbaiki percanggahan antara perundangan persekutuan dan enakmen negeri, selain meneliti undang-undang lapuk atau tidak selaras dengan Perlembagaan.

“Suruhanjaya itu juga boleh membantu dalam penyeragaman serta penggubalan undang-undang yang lebih sesuai dengan keperluan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan keperluan konsep perundingan atau syura lebih tepat berbanding sekadar ‘libat urus’ dalam memperkasa tadbir urus baharu.

“Ia perlu melibatkan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil sebagai rakan pembangunan melalui amalan perundingan sebenar.

“Langkah itu menuntut penyertaan bermakna, perwakilan dan penghakupayaan, bukan sekadar proses kosmetik atau melengahkan keputusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.