PH P Pinang bentuk 3 jawatankuasa hadapi PRU16

PH P Pinang bentuk 3 jawatankuasa hadapi PRU16

Tiga jawatankuasa kecil diketuai pemimpin PH negeri itu merangkumi manifesto, komunikasi, dan mobilisasi.

Chow Kon Yeow DAP PKR
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (duduk, tengah) bersama barisan kepimpinan negeri pada sidang media. (Gambar Johnshen Lee)
GEORGE TOWN:
Pakatan Harapan Pulau Pinang sedang membuat persiapan menghadapi PRU16 dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan raya, dianggotai seluruh kepimpinan negeri, umum Pengerusi Chow Kon Yeow.

Jawatankuasa berkenaan akan dibantu tiga jawatankuasa kecil, merangkumi manifesto, komunikasi, dan mobilisasi.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari akan mengetuai manifesto, manakala komunikasi akan diterajui Naib Pengerusi PKR PH Pulau Pinang Lee Boon Heng, dan mobilisasi diketuai Setiausaha Amanah Pulau Pinang Zahar Zainul.

Ketiga-tiga jawatankuasa kecil tersebut akan meneliti perkara seperti meningkatkan peratusan keluar mengundi dan memupuk kesedaran pengundi.

PH Pulau Pinang turut melakukan perubahan kecil pada jawatankuasa kepimpinan, dengan Ketua PKR Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid menggantikan penyandangnya sebelum ini, Nurul Izzah, sebagai salah seorang timbalan pengerusi, manakala Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik, menggantikan Mohamad sebagai salah seorang naib pengerusi.

Chow menegaskan PH Pulau Pinang harus perkukuh perpaduan memandangkan perkembangan di peringkat nasional memberi kesan secara langsung ke atas negeri.

“Kita mesti perlu memperkukuhkan disiplin organisasi. Kita juga mesti memperkasakan jentera akar umbi kita,” kata Chow pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan PH Pulau Pinang di ibu pejabat DAP negeri.

Sementara itu, Chow mengumumkan jawatankuasa kepimpinan negeri membuat keputusan untuk menstruktur semula jentera di setiap kawasan Parlimen.

Pada PRU15, PH berjaya mempertahankan 10 kerusi Parlimen, namun tewas di Permatang Pauh di tangan Perikatan Nasional.

Sementara itu, pada PRN 2023, PH memenangi 27 kerusi, berbanding 37 kerusi yang dimenangi pada PRU 2018.

PH membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional, yang memenangi dua kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.