
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan anjuran KGP Perlis dengan kerjasama Malaysia Golf Association (MGA).
Keberangkatan tiba baginda yang juga presiden KGP Perlis disambut Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap naib presiden 1 KGP Perlis, Noor Azman Abdul Rahman; Kapten KGP Perlis, Idris Sheikh Ahmad; wakil MGA, Azman Awang; serta Ketua Pegawai Eksekutif SAP, Nik Nazreen Yusrie Nik Jusoh.
Tahun ini merupakan edisi ke-20 penganjuran kejohanan berprestij itu, yang mendapat sokongan dan tajaan SAP buat kali kedua berturut-turut.
Antara kategori dipertandingkan ialah Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Intermediate, selain Kategori Undangan VIP.
Kategori Terbuka Lelaki dimenangi pemain kebangsaan Nor Haqiem Nor Hadi, manakala Nurlyana Yasmin muncul juara Kategori Terbuka Wanita.
Bagi Kategori VIP pula, Nik Nazreen Yusrie dinobatkan sebagai johan.
Kehadiran peserta dari seluruh negara bukan sahaja menyemarakkan kejohanan, malah memberi peluang kepada mereka merasai cabaran dan keunikan padang golf di KGP Perlis.
Penganjuran kejohanan itu juga dilihat dapat membantu mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan, selain memperkenalkan hospitaliti dan keramahan rakyat negeri itu kepada pengunjung.