Ahli Parlimen gesa tindakan terhadap pengurusan tertinggi Penjara Taiping

Ahli Parlimen gesa tindakan terhadap pengurusan tertinggi Penjara Taiping

Lim Lip Eng menggesa hukuman tegas, termasuk penggantungan tugas, tindakan tatatertib dan pertuduhan jenayah, jika kesalahan terbukti.

penjara taiping
Lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan pada Januari 2025 yang menyebabkan seorang tahanan maut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa pengurusan tertinggi Penjara Taiping dikenakan tindakan susulan penemuan Suhakam berhubung serangan ke atas lebih 100 tahanan pada Januari 2025 yang menyebabkan kematian seorang tahanan.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata penemuan Suhakam amat memalukan dan mencemarkan Penjara Taiping, khasnya dakwaan palsu dalam laporan polis yang dibuat pegawai penjara terhadap tahanan.

Suhakam turut mendapati pegawai penjara menggunakan kekerasan fizikal melampau, termasuk penggunaan senjata yang digambarkan Lim sebagai “kekejaman di sebalik tembok penjara”.

“Pihak pengurusan tertinggi Penjara Taiping tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab atas apa yang dilihat sebagai usaha menutup keganasan, laporan palsu dan penyalahgunaan senjata di bawah seliaan mereka.

“Saya menggesa hukuman tegas dikenakan terhadap pengurusan tertinggi dan kakitangan penjara terbabit dalam insiden itu, termasuk penggantungan tugas, tindakan tatatertib dan pertuduhan jenayah, jika kesalahan terbukti,” katanya dalam kenyataan.

Lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari 2025. Seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut dalam insiden itu.

Dalam inkuiri awam Suhakam, peguam persekutuan Jabatan Penjara mengakui pegawai penjara bersalah kerana melanggar hak asasi tahanan.

Semalam, Suhakam menyeru pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pegawai Penjara Taiping terbabit dalam serangan itu kerana terdapat bukti jelas dan langsung berhubung salah laku berdasarkan rakaman CCTV dan keterangan saksi.

Walaupun seorang warden telah dituduh atas kesalahan membunuh tanpa niat, Pengerusi Suhakam, Hishamudin Yunus dilaporkan berkata, siasatan jenayah perlu dimulakan terhadap pegawai lain yang turut terbabit dalam insiden itu.

Suhakam turut mendapati pihak pengurusan penjara tetap meneruskan proses pemindahan itu, walaupun tahu Blok E mengalami kerosakan serius struktur dan keadaan persekitaran tidak selamat didiami yang menyebabkan tahanan enggan berpindah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.