
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan kecurian kabel sepanjang 100m itu dikesan polis bantuannya awal pagi tadi susulan pemeriksaan di lokasi kejadian yang menyebabkan perkhidmatan tren melalui laluan itu mengalami kelewatan lebih 60 minit daripada jadual asal.
Antaranya, perkhidmatan KTM Komuter Utara tren No 2902 mengalami kelewatan sekitar 34 minit, No 2904 (40 minit), No 2903 (23 minit) dan No 2905 (25 minit).
“Semua perkhidmatan ETS yang melalui laluan berkenaan turut dijangka mengalami kelewatan, termasuk EP9121 selama 90 minit, EX9171 (21 minit), EP9323 (enam minit) dan EG9343 (tiga minit),” katanya menurut Berita Harian.
Jelasnya, pasukan teknikalnya giat melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan bagi menstabilkan semula operasi serta memastikan operasi tren kembali seperti biasa secepat mungkin.
KTMB menyarankan penumpang mendapatkan maklumat terkini status perjalanan dan kelewatan tren melalui media sosial rasmi KTMB, selain merujuk kakitangan stesen bertugas bagi mendapatkan bantuan lanjut.
Tegasnya, ia memandang serius insiden kecurian kabel yang bukan saja menjejaskan kelancaran operasi tren, tetapi turut mengundang implikasi terhadap aspek keselamatan dan kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.