
Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian, tiga pekerja termasuk dua warga asing berusia antara 39 hingga 46 tahun sedang menjalankan kerja pemotongan besi menggunakan pemotong gas oksigen di atas kapal itu.
Beliau berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian berlaku di Jeti Glorious Innovation, Kampung Bukit Kuang, itu pada 3.18 petang.
“Ketika kerja dijalankan, secara tiba-tiba berlaku letupan kecil pada kapal tangki itu lalu terbakar.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga pekerja sempat turun dari kapal untuk menyelamatkan diri,” katanya, lapor Bernama.
Anggota bomba yang tiba di lokasi pada 3.23 petang berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian, tambahnya.
Mohd Razi berkata, kapal tangki sepanjang 53.7m dan selebar 10m itu terbakar di bahagian tengah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 45%.
Menurutnya, punca letupan dan kebakaran masih disiasat forensik bomba.
Pada Ogos lepas, media melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah kapal tangki seberat 292.9 tan yang hanyut berhampiran Pelantar Minyak Semangkok A di perairan Terengganu.
Kapal digelar ‘kapal hantu’ itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki yang terbakar di perairan Tanjung Sedili, Johor, pada bulan sama.