Mahkamah kekal penjara 45 bulan, denda RM13,000 terhadap pemandu bas

Mahkamah kekal penjara 45 bulan, denda RM13,000 terhadap pemandu bas

T Mariya Adisan sebelum ini disabit kesalahan pandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian seorang lelaki 9 tahun lalu.

kompleks mahkamah alor setar
Mahkamah Tinggi Alor Setar berkata, hukuman yang dijatuhkan ke atas pemandu bas persiaran T Mariya Adisan adalah wajar dan berada dalam bidang kuasa majistret. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu bas persiaran gagal merayu hukuman penjara 45 bulan dan denda RM13,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dan mencederakan dua yang lain, sembilan tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atas T Mariya Adisan, 46, adalah wajar dan berada dalam bidang kuasa majistret.

“Justeru, tiada asas untuk mencampuri atau mengubah hukuman tersebut,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Aimi Zaini Azhar dalam penghakimannya yang menolak rayuan Mariya terhadap sabitan dan hukumannya.

Mariya melakukan kesalahan itu di KM65.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pendang pada kira-kira 5.40 pagi, 22 Jun 2017.

Akibat kemalangan itu, Ruslan Saidin, 53, maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori Syuhaimi Osman, 42, cedera di kepala dan kaki, dan rakan sekerjanya, Rozi Ishak, 30, cedera di kepala.

Bas yang membawa 28 penumpang itu dalam perjalanan dari Lukut, Negeri Sembilan ke Hatyai, Thailand, apabila ia merempuh belakang sebuah lori. Rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbabas, melanggar pembahagi jalan dan terbalik di bahu jalan.

Mariya didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Jika gagal membayar denda, dia akan dipenjara lagi selama 10 bulan.

Dia juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama empat tahun, dan butiran kesalahan tersebut diendorskan pada lesennya.

Aimi berkata, kelakuan Mariya tidak mencapai piawaian yang diharapkan daripada seorang pemandu yang cekap dan berhemah, serta dianggap sebagai pemanduan berbahaya.

“Mahkamah ini juga mengekalkan kebolehterimaan dan kebolehpercayaan rakaman kamera pemuka (dashcam) dan mendapati tiada bukti ia diubah suai,” katanya dalam penghakiman setebal 22 muka surat yang dikeluarkan semalam.

Aimi berkata, pemanduan berbahaya Mariya menyebabkan kematian Ruslan, fakta yang disokong oleh keterangan seorang pegawai perubatan kanan yang mempunyai pengalaman selama 12 tahun dalam patologi forensik.

Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh pegawai itu mengesahkan bahawa Ruslan meninggal dunia akibat kecederaan kepala yang dialami dalam kemalangan itu.

Tambahnya, majistret bertindak tepat dengan menolak cabaran pihak pembelaan terhadap kelayakan dan keterangan pegawai perubatan tersebut.

“Justeru, majistret tidak tersasar apabila mendapati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah,” katanya.

Berkenaan hukuman, Aimi berkata, mahkamah telah mengambil kira status Mariya sebagai pesalah kali pertama dan tanggungjawab terhadap keluarganya.

Bagaimanapun, faktor-faktor ini terpaksa ditimbang dengan keseriusan kesalahan tersebut, yang mengakibatkan satu kematian dan mencederakan dua yang lain.

Peguam SP Raman mewakili Mariya, manakala Timbalan Pendakwa Raya Farhan Aliff Ahmad tampil bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.