
Baginda bertitah, kestabilan pentadbiran amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan dirangka dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Beta ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bahawa kerajaan ini adalah kerajaan beta, lapor Sinar Harian.
“Justeru, beta berharap agar menteri besar diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri yang ke-15 tanpa sebarang kacau ganggu yang akan merencatkan segala perancangan yang dirangka,” titah baginda.
Titah baginda dibacakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, hari ini.
Dalam titahnya, Tuanku Syed Sirajuddin turut menyeru semua Adun mengetepikan perbezaan dan ego masing-masing serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Baginda bertitah, kerjasama erat dan berterusan perlu diberikan kepada menteri besar bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.
“Segala perbezaan pandangan dan pertelagahan perlu diselesaikan dengan penuh berhemah dan harmoni. Kestabilan politik merupakan satu kriteria yang sangat penting yang akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur untuk melabur di negeri ini,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda menyeru semua wakil rakyat supaya meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi kepentingan peribadi atau politik.
Tuanku Syed Sirajuddin turut menegaskan kemajuan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada usaha kerajaan, malah memerlukan kesungguhan rakyat untuk memperkukuh keupayaan ekonomi, meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi menghadapi cabaran masa depan.
Baginda turut mengingatkan agar sidang DUN dimanfaatkan sebagai platform terbaik untuk menjana idea baharu yang bernas dan konstruktif ke arah memajukan Perlis, bukannya menjadi medan pertelagahan atau pertikaman lidah.
“Berhujah dan berbahaslah dengan penuh kebijaksanaan tanpa terpengaruh dengan desakan emosi. Sentiasalah beringat bahawa generasi muda sedang memerhatikan setiap gelagat Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,” titah baginda.
Terdahulu, media melaporkan sidang DUN Perlis yang bermula Rabu hingga Jumaat ini dijangka menarik perhatian berikutan desas-sesus akan berlaku usul undi tidak percaya enam wakil rakyat PAS terhadap Abu Bakar.