Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, perkara itu diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS selepas melihat ia menerusi perkara kebaikan dan ketakwaan kepada Allah.
“Dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulamak Pas baru-baru ini telah dibuat keputusan untuk kekal dengan keputusan lama iaitu tidak menyertai BN (Barisan Nasional) atau bersama UMNO,” katanya lapor portal Sinar Harian.
Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan rasmi mengenai perkara itu akan dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama dalam masa terdekat.
Katanya, PAS akan hadir sekiranya UMNO menjemput berunding mengenai perkara itu dan dalam perbincangan tersebut PAS akan menyatakan tidak akan terlibat dalam perkara-perkara yang melibatkan dosa.
Isu kerjasama antara Pas dan Umno kembali mencuri perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno menghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara mengikut syariat Islam sebenarnya .
