Jamal sekali lagi sebut watak misteri ‘Rafizi’ beri wang kepadanya

Jamal sekali lagi sebut watak misteri ‘Rafizi’ beri wang kepadanya

Pemimpin Umno itu bagaimanapun enggan memberi nama penuh mahupun butiran lanjut bagaimana kelulusan menaiki helikopter diberikan.

jamal-rafizi
PETALING JAYA:
Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Yunos sekali lagi menyebut watak misteri bernama Rafizi sebagai orang yang membiayai helikopter yang digunakan bagi meninjau sebuah rumah banglo milik pemimpin Pemuda PKR semalam.

Beliau menjawab Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, yang mempersoalkan sumber kewangan Jamal dalam menyewa helikopter berkenaan.

“Kawan saya Rafizi sponsor (taja),” kata Jamal kepada FMT tanpa memberikan butiran lanjut atau nama penuh kawannya.

Ditanya bagaimana kebenaran menggunakan helikopter itu diluluskan segera, Jamal menjawab:

“Itu saya tidak tahu, tanya Rafizi lah.”

Jamal pada Oktober lalu pernah menyebut Rafizi ketika menuduh Bersih 2.0 diresapi kumpulan militan IS.

Menurutnya, dakwaan itu berdasarkan sumber yang dibekalkan kepadanya oleh Rafizi.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, ketika ditanya sama ada Jamal memaksudkannya, berkata pemimpin Umno itu seorang “badut” yang tidak perlu dilayan.

“Saya tidak tahu apa yang Jamal cakap. Saya tidak tahu-menahu dan tidak berminat untuk ambil tahu. Jamal seorang yang mengarut. Siapa yang layan Jamal akan sama-sama mengarut macam Jamal,” kata ahli Parlimen Pandan itu.

Jamal semalam membawa beberapa wartawan menaiki helikopter di Ampang bagi menunjukkan sebuah banglo milik Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly, dan mempersoalkan kemampuannya pada usia sebegitu muda dengan kelulusan hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Adam, 28, bagaimanapun mencabar Jamal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zuraida yang sebelum ini diherdik penyokong Jamal di sebuah pusat beli-belah Ahad lepas, semalam melahirkan rasa hairan Jamal mendapat kelulusan menggunakan helikopter dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

“Saya juga persoalkan apakah prosedur, tempoh masa dan tujuan menggunakan helikopter untuk tindakan yang tidak bermanfaat itu,” katanya.

PAUTAN:

Zuraida tanya, siapa benarkan Jamal naik helikopter

Jamal ‘badut paling besar’ Umno, Rafizi nafi beri maklumat

Sumber saya Rafizi, Jamal beri ‘bukti’ Bersih diresapi IS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.