Separuh gaji habis bayar yuran jaga anak

Separuh gaji habis bayar yuran jaga anak

Ada ibu bapa merintih apabila wang sebanyak RM1,950 sebulan terpaksa dikeluarkan hanya untuk yuran pusat jagaan kanak-kanak.

pusat-jagaan-anak,duit

PETALING JAYA:
“Saya terpaksa bayar yuran di pusat jagaan kanak-kanak walaupun ia menelan setengah gaji bulanan saya.”

Itulah luahan Siti Zaleha Othman, yang mengenangkan separuh daripada gajinya dibayar kepada pusat jagaan kanak-kanak swasta yang menjaga anaknya di Lembah Klang.

Bercakap kepada FMT di sini, baru-baru ini, dia tidak mempunyai pilihan selain menghantar anaknya ke pusat berkenaan kerana dia dan suaminya bekerja.

“Yuran yang saya bayar untuk dua anak saya berumur dua dan empat tahun berjumlah RM1,950 sebulan di pusat jagaan kanak-kanak swasta, kerana tiada pilihan. Kami bukan tidak mahu hantar anak di tempat yang murah tapi jauh dengan tempat kerja kami dan itu akan menelan belanja lagi tinggi, tapi yang ada sekarang ini dekat dengan tempat kerja dan memudahkan kami.

“Saya dan suami bekerja, maka kami terpaksa menghantar anak ke pusat jagaan, balik kerja kami ambil tapi kalau tidak buat begitu, alamatnya salah seorang daripada kami kena berhenti kerja, tetapi hidup di bandar kalau seorang sahaja kerja, mana cukup,” katanya.

Nada sama disuarakan seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Wong, yang mana turut terkesan apabila terpaksa membuat perbelanjaan lebih untuk membayar yuran anaknya di pusat jagaan, dan ditambah dengan kos sara hidup yang meningkat.

“Saya bayar yuran anak saya RM350 untuk separuh hari, namun sejak kos sara hidup meningkat saya rasa perbelanjaan saya juga meningkat, tapi gaji tak naik.

“Saya harap kerajaan fikir beban yang ditanggung rakyat,” katanya ringkas.

Seorang kakitangan kerajaan dikenali sebagai Mohamad berkata, dia akur apabila terpaksa berbelanja melebihi RM2,000 sebulan bagi menguruskan persekolahan semua anaknya termasuk dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak.

“Apa boleh buat, tinggi mana kos sara hidup pun kita terpaksa ikut, kalau bantah apa kita dapat. Kos perbelanjaan untuk anak tahun ini meningkat melebihi RM2,000.

“Dahulu baju RM18 sehelai sekarang RM30 sehelai, kasut paling murah RM30, ditambah dengan yuran anak di sekolah dan pusat jagaan lagi.

“Dahulu kerajaan kata mereka akan memberi bantuan kepada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000. Saya bergaji kurang RM3,000 tak dapat apa pun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.