3 warga Turki sudah dihantar pulang

khalid-3-turkey2PETALING JAYA: Tiga warga Turki yang ditahan awal bulan ini atas tuduhan terlibat dalam kegiatan keganasan sudah dihantar pulang walapun rayuan daripada ahli keluarga yang bimbang keselamatan mereka yang berdepan tindakan pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kiriman Twitter hari ini mengumumkan Turgay Karaman, Ihsan Aslan and Ismet Ozcelik dihantar pulang ke Ankara malam tadi.

Ia dipercayai kali kedua Malaysia menghantar pulang warga Turki yang ditahan di Malaysia.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia tidak akan melayan sebarang rayuan supaya warga Turki yang dituduh terlibat aktiviti keganasan itu tidak dihantar pulang.

“Itu bukanlah tanggungjawab kita. Kita harus hantar dia (warga Turki) ke negara asal. Kenapa kita harus berikan bebanan kepada negara lain?” kata Zahid.

Sebelum ini, isteri Turgay, Ayse Gul berkata suaminya bimbang sekiranya dihantar pulang ke Turki.

“Asalkan bukan Turki, kerana mereka akan menyeksanya,” kata Ayse yang merayu kerajaan Malaysia tidak menghantar pulang suaminya.

Polis mendakwa ketiga-tiga mereka terlibat dalam kegiatan militan. Bagaimanapun, beberapa laporan dari Turki berkata penangkapan mereka ada kaitan dengan tindakan keras Erdogan yang memenjarakan beribu-ribu orang kerana bersimpati dengan Gerakan Gulen yang diketuai Fetullah Gulen, ulama Turki yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.