
Wajah cantik manis pelakon dari seberang, Hannah Delisha nampaknya belum menjamin kedudukan yang kukuh di persada seni tanah air.Bermata galak, wanita kacukan Inggeris dan Melayu dari Singapura ini terus dibelenggu pelbagai corotan negatif khususnya di laman sosial.
Baru berusia 21 tahun, Hannah berkata walaupun pengikutnya semakin bertambah di laman sosial tetapi komen negatif yang dikongsi tetap memberi kesan kepadanya.
“Jika diikutkan saya jarang baca komen negatif yang ditinggalkan tetapi apabila ada pihak membuat komen berbaur rasis ia membuat saya terkesan.
“Ada mempertikaikan mengapa saya tidak mahu bekerja sahaja di Singapura dan perkara sensitif hanya kerana saya bukan rakyat negara ini,” katanya seperti yang dipetik oleh mStar Online.
Selain kutukan berbaur rasis, Hannah juga pernah dikecam kerana adegan aksi berpelukan yang dilihat membelakangkan nilai murni seorang Islam.
Menurut laporan, Hannah membiarkan dirinya dipeluk pelakon, Syafiq Kyle sambil menyandarkan kepalanya pada bahagian dadanya dalam salah satu babak drama, Mencintaimu Mr Photoghrapher.
Bagaimanapun, apa yang penting, segala kontroversi dan berita itu mempopularkan Hannah dan dia juga dijangka berlakon dalam filem arahan pengarah terkenal Osman Ali iaitu Langsuir yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi.
Biasalah tu, kena kecam bila merantau di negara orang, cuma Hannah perlu memperkuatkan mental kerana ramai warganegara Singapura dan negara lain pernah dan sudah menempa nama dalam industri seni Malaysia.
FMT Ohsem mengambil peluang ini untuk menyenaraikan beberapa artis warga Singpaura yang menjadi hero atau pelakon pujaan hati penonton Malaysia.
1. Aaron Aziz
Bagaikan mendahului carta, pelakon berbadan sasa ini awalnya hanya berlakon di Singapura tetapi beralih angin ke Malaysia pada 2003 selepas “dilamar” Erma Fatima untuk dramanya. Pelakon berdarah kacukan Melayu-Bugis-Jawa ini berkahwin dengan Diyana Halik dan mempunyai 3 anak. Aaron merupakan penduduk tetap Malaysia.
Wataknya sebagai Emil Emilda menjadi fenomena di TV3 dan Aaron terus menempatkan dirinya di sini. Antara filem lakonan Aaron ialah “Ombak Rindu”, “KL Gangster” dan “Suamiku Encik Perfect 10”.
2. Adi Putra
Seorang lagi hero pujaan ramai yang bermula sebagai model, pelakon dan pengacara di Suria TV Mediacorp. Menetap di Kuala Lumpur sebagai pelakon TV dan filem, Adi Putra terkenal dalam filem antaranya “Suami Aku Ustaz”, “Hanyut”, “KL Gangster” dan “Histeria”. Namanya tak pernah tercicir daripada pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sejak 5 tahun lalu namun belum pernah menjulang anugerah lagi.
3. Hisyam Hamid
Hisyam Hamid merupakan pelakon dan model. Dia dikenali di Malaysia selepas berlakon dalam beberapa drama seperti “Memori Cinta Suraya”, “Sayap Jibrail”, “Ariana Rose” dan sebagainya. Ayah kepada 2 cahaya mata ini berjinak dengan industri hiburan Malaysia sejak 2013. Ya, baru lagi!
4. Aliff Aziz
Ehem… siapa tak kenal Aliff Aziz kan? Apatah lagi selepas beberapa minggu terlibat dalam kontroversi dengan pelakon wanita tempatan di pusat karaoke. Penyanyi ini turut mencuba nasib menjadi pelakon di Malaysia dan antara karya lakonannya ialah drama slot Dahlia di TV3, “Meh, Sandar Lagi”. Bagaimanapun, Aliff lebih popular sebagai penyanyi di Singapura selepas memenangi pertandingan realiti dan mencipta beberapa album. Aliff masih membina namanya di Malaysia dan semoga usahanya berjaya.
5. Atikah Suhaime
Pelakon Singapura ini juga mengikut jejak senior dari negara kelahirannya. Kini dia sibuk dengan beberapa penggambaran dan antara filem lakonannya ialah “Lagenda Budak Hostel”, “Highlands Tower” dan “May Stupid Boss”. Filem Banglasia lakonannya tidak ditayangkan atas beberapa faktor. Selain berlakon Atikah juga menjadi duta beberapa produk di sini.
6. Aisyah Aziz
Aisyah Aziz menjadi penyanyi remaja lagu bergenre pop setelah mendapat tempat ke-6 Akademi Fantasia Musim 10 pada 2013. Lagu debut nyanyiannya berjudul “Mimpi” berjaya melonjakkan namanya sebagai penyanyi muda. Adik kepada Aliff Aziz ini hanya menumpu kepada dunia hiburan nyanyian buat masa ini.