
Seorang lelaki meninggalkan majlis perkahwinannya apabila bapa pengantin perempuan menuntut anaknya dibenarkan memandu selepas berkahwin.Portal Stepfeed memetik akhbar Al Marsd melaporkan pengantin lelaki itu terkejut dengan permintaan bakal bapa mertuanya supaya anak perempuannya diberikan sebuah kereta dan memohon lesen memandu selepas mendirikan rumah tangga.
Lelaki terbabit menolak permintaan itu yang dibuat beberapa minit sebelum majlis akad nikah berlangsung. Beliau kemudiannya meninggalkan majlis itu, walaupun selepas dipujuk saudara-mara.
Bapa pengantin perempuan berkenaan sebelum ini meminta mas kahwin sebanyak 40,000 riyal (RM45,000) dan anaknya dibenarkan terus bekerja selepas berkahwin.
Lelaki terbabit bersetuju dengan kedua-dua permintaan tersebut.
Pada 26 September lalu, Raja Salman mengarahkan larangan wanita memandu kereta ditarik balik. Dasar itu akan dikuatkuasakan mulai 24 Jun 2018.
Riyadh merupakan satu-satunya negara yang tidak membenarkan wanita memandu atas alasan agama.
Aktivis wanita selama berdekad melawan pengharaman itu, dan ada yang ditangkap kerana ingkar larangan itu.
Insiden yang dilaporkan pada Ahad lalu itu kemudiannya tersebar di media sosial dengan ratusan pengguna Twitter memberi respons terhadap tindakan lelaki itu.
Sebahagian besar daripada mereka terkejut dengan reaksi pengantin lelaki itu, tetapi ada yang memahami keadaannya.