Raikan kanak-kanak autisme pada Deepavali

Raikan kanak-kanak autisme pada Deepavali

Shashi berharap iklan filem web yang mengetengah isu kesedaran autisme sempena Deepavali mencapai lebih ramai penonton sekaligus menyebarkan mesej yang terkandung.

autisme-depavali
fmt-ohsem-inside-article1Deepavali membawa pelbagai pengertian, lazimnya ia mengenai kebaikan melawan kejahatan dan kegembiraan melampaui kesedihan.

Benar dan perkara itulah menjadi intipati kebanyakan iklan yang kini sudah mula mengambil giliran dipaparkan di kaca televisyen mahupun platform laman sosial.

Syarikat hiburan Shaiba Vision bersama syarikat produksi Sempoi Production turut menggunakan konsep sama tetapi mengetengah kisah seorang kanak-kanak autistik dan ibunya yang tidak pernah berputus asa dengan objektif untuk membesarkan anaknya sebagai seorang yang berjaya.

“Sempoi Production mengambil pendekatan ini menunjukkan sisi seorang ibu yang berusaha membesarkan anak autistik dalam situasi di mana sokongan diterimanya sangat sedikit,” kata penerbit filem web tersebut, Datin Sri Shaila Nair dari Shaiba Vision.

Menggunakan tema “Light up someone’s life Deepavali 2017” atau terjemahannya, memberi cahaya kepada kehidupan seseorang, iklan ini dibawa dalam bentuk filem web pendek turut dibikin hasil kerjasama Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Persama (juga badan autistik) dan artis Tamil tempatan.

autisme-depavali2
Menurut pengarah Shashi Tharan, iklan filem web ini mengambil inspirasi daripada kisah benar saintis dan pereka terkenal, Thomas Alva Edison.

“Kandungannya sama sahaja dengan kisah Thomas Edison di mana ibu yang tidak pernah berputus asas terhadap kemampuan anak dan terus menjadi sumber pemangkin kejayaannya.

“Dalam kisah ini, watak Rahul seorang kanak-kanak autistik berjaya semata-mata kerana harapan dan keyakinan si ibu yang mempercayai kemampuan anak istimewanya,” kata Shashi.

Filem 6.5 minit ini juga memuatkan ucapan “Selamat Deepavali” dan ucapan tema “Light up someone’s life” daripada kanak-kanak autistik serta beberapa artis Tamil tempatan.

Tambah Shashi, tujuan menggunakan elemen autisme pada musim perayaan ini supaya pihaknya dapat menyebarkan kesedaran mengenai kanak-kanak istimewa ini yang tidak sepatutnya dipinggir atau diasingkan dalam mana-mana situasi sekalipun.

autisme-depavali1
Manakala, Shaila yang berlakon sebagai watak utama iaitu ibu kepada kanak-kanak autistik dalam filem web itu pula akui, mana-mana kanak-kanak termasuk autistik seharusnya diberi peluang dan kepercayaan, apatah lagi oleh ibu bapa mereka.

“Kita semua pernah baca dan dengar atau menyaksikan sendiri kejayaan kanak-kanak istimewa ini dan Thomas Edison salah satu contoh terbaik daripada kalangan itu.

“Mana-mana kanak-kanak boleh berjaya asalkan memiliki ibu bapa yang menyokong dan mempercayai kebolehan mereka,” ujar beliau kepada FMT Ohsem.

Turut berlakon dalam filem web ini selain Shashi selaku bapa dan Shaila selaku ibu, adalah pelakon kanak-kanak Harish, pelakon autistik remaja, Mugen Rao dan watak guru, Thila Laxman.

https://www.facebook.com/shaibhavision/videos/1685970018141017/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.